65 warga asing dipaksa kerja lebih masa, tidak dibayar gaji

65 warga asing dipaksa kerja lebih masa, tidak dibayar gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan polis mendapati kebanyakan warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi majikan dengan cara dipaksa bekerja lebih masa selain tidak dibayar gaji.

Selain itu, ada antara mereka dikurung dan dokumen pengenalan diri atau pasport mereka dipegang majikan. Tempat tinggal disediakan uga tidak kondusif.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada 73 mangsa buruh paksa yang diselamatkan 65 membabitkan warga asing.

Menurut beliau, 65 orang warga asing ialah tiga warga Filipina; Indonesia (16); Bangladesh (14); Kemboja (4); Myanmar (18) dan Thailand (10).

Kata beliau, siasatan awal mendapati kebanyakan mangsa yang diselamatkan masuk ke Malaysia mengikut laluan sah sama ada udara, laut dan darat.

“Hanya segelintir yang masuk secara haram. Tujuan mereka (warga asing) ke sini kerana dijanjikan pekerjaan oleh ejen di sektor-sektor berkaitan.

“Bagaimanapun, apabila telah bekerja, warga asing ini dieksploitasi oleh majikan sehinggakan ada tidak dibayar gaji, dipaksa kerja lebih masa, pasport dipegang majikan malah ada yang dikurung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, kebanyakan buruh paksa yang diselamatkan antaranya dikesan bekerja di bengkel-bengkel, pusat mencuci kereta, pembantu rumah.

“Kebanyakan kanak-kanak atau remaja yang masuk ke negara ini mengikut ibu bapa atau penjaga masing-masing selain ada yang masuk atas keinginan sendiri untuk mencari rezeki.

“Untuk kes buruh paksa, sepanjang tahun lalu hingga Mei ini, sebanyak 132 kes dilaporkan di seluruh negara,” katanya.

Media semalam melaporkan seramai 73 individu termasuk 22 kanak-kanak diselamatkan polis kerana dieksploitasi sebagai buruh paksa. Mereka diselamatkan dalam serbuan berasingan di seluruh negara pada 12 Jun lalu.

Serbuan Op Mega Pintas dijalankan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam 33 serbuan serentak membabitkan 14 kontinjen.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dilaporkan berkata, dalam operasi itu, semua 73 mangsa diselamatkan terdiri daripada 25 lelaki, 26 perempuan dan 22 kanak-kanak.

Katanya, pihak polis berjaya menyelamatkan tiga Orang Kurang Upaya berusia 38 hingga 44 tahun masing-masing membabitkan seorang wanita dan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam eksploitasi seks dan buruh paksa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN