MEKAH: Sebanyak 50 peratus daripada 31,600 jemaah haji Malaysia akan melaksanakan Nafar Awwal dan selebihnya Nafar Thani bagi musim haji 1445H/2024M.
Ini bermakna 15,800 jemaah haji yang melaksanakan Nafar Awwal akan meninggalkan Mina pada 12 Zulhijjah sebelum matahari terbenam, manakala Nafar Thani pada 13 Zulhijjah.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, langkah tersebut bagi mengurangkan kesesakan di Mina dan melancarkan pergerakan jemaah haji pulang ke penginapan.
“Sebanyak 10 buah bas akan disediakan untuk setiap maktab bagi membawa jemaah ke Mekah sebaik selesai melaksanakan melontar jamrah pada 12 Zulhijjah (Nafar Awwal).
“Sementara 10 bas lagi akan digunakan selepas selesai melontar pada hari 13 Zulhijjah (Nafar Thani) bagi membawa pulang ke maktab masing masing di Mekah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini semalam.
Sebagai rekod, operasi Masyair kali ini akan bermula pada 9 Zulhijjah bersamaan 15 Jun dan berakhir 13 Zulhijjah iaitu 20 Jun ini.
DIjangka sebanyak dua ke tiga juta jemaah haji akan mula bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah ini.
Tambah Syed Saleh, jemaah haji Malaysia turut diberi kelebihan dan keutamaan untuk memilih waktu melontar pada tahun ini.
Menurutnya, jadual masa melontar bagi jemaah haji bermula pada pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam.
“Kita mengambil kira cuaca panas seandainya dibuat siang. Apabila jemaah melontar malam jumlah jemaah haji dari negara lain kurang dan kita dapat mengelakkan kesesakan selain faktor cuaca,”ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata, pergerakan jemaah haji ke Arafah akan melibatkan tiga peringkat.
“Pergerakan bermula pada pukul enam pagi dan terbahagi kepada tiga pusingan dengan melibatkan 20 bas untuk setiap maktab. Setiap maktab akan menguruskan jemaah haji menaiki bas mengikut siri penerbangan.
“Pergerakan jemaah haji akan dilaksanakan secara Taradudiah atau shuttle dengan jarak perjalanan Mekah ke Arafah sejauh 21.9 kilometer (km); Arafah ke Muzdalifah (8km); Muzdalifah ke Mina 6.9km dan Mina ke Mekah sejauh 7km,” ujarnya. – UTUSAN










