IPOH: Sekumpulan ‘mat rempit’ yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan, tengah malam tadi.
Dalam operasi bermula 12 tengah malam di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh (Klebang) itu, empat penunggang motosikal ditahan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Keempat-empat lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 .
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, empat lelaki itu ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 199 individu berusia 15 hingga 32 tahun.
Katanya, sebahagian besar individu yang diperiksa itu terdiri dalam kalangan pelajar termasuk 47 pelajar sekolah dan 18 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 191 buah motosikal diperiksa di mana 39 buah kenderaan disita membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Dalam operasi itu, sebanyak 267 keping saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan trafik, 104 keping saman dan notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 12 kompaun dan notis di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki kerana didapati positif dadah jenis Tetrahydro-Cannabinol (THC).
Operasi bersepadu itu melibatkan 72 pegawai dan anggota polis kontinjen Perak bersama anggota JPJ, JAS dan AADK. – UTUSAN










