27 pempengaruh promosi judi dalam talian ditangkap

27 pempengaruh promosi judi dalam talian ditangkap

Mohd. Shuhaily Mohd. Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 27 pempengaruh media sosial ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket perjudian untuk mempromosikan  judi dalam talian.

Mereka membabitkan  23 wanita dan empat lelaki, semuanya warga tempatan berusia  21 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan serentak di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata,  siasatan mendapati sindiket membayar gaji antara RM1,500 hingga RM8,000 kepada semua pempengaruh terbabit berdasarkan jumlah pengikut di akaun media sosial masing-masing.

Menurut beliau, semua pempengaruh itu diupah sindiket berlainan lebih setahun lalu.

“Siasatan mendapati setiap pempengaruh yang digaji sindiket ini aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Katanya,  pempengaruh itu  akan mempromosikan pelbagai produk termasuk produk kecantikan selain mempromosi laman kegiatan judi dalam talian.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas 30 telefon bimbit milik kesemua suspek untuk siasatan lanjut. 

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti mengenai sindiket-sindiket judi yang menjadi dalang utama dalam kes ini.

“Inilah yang berlaku dalam dunia judi haram yang mana bukan lagi berlaku di premis sebaliknya secara dalam talian, dalam konteks jenayah siber,” katanya. 

Tambahnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN