18,642 permohonan Budi Agri-Komoditi diterima - Utusan Malaysia

18,642 permohonan Budi Agri-Komoditi diterima

BUDI Agri-Komoditi
MOHAMAD Sabu meninjau gerai buah-buahan di tapak jualan program Fama Fest di Klang, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 18,642 permohonan diterima bagi bantuan tunai Budi Agri-Komoditi yang dilaksanakan kerajaan susulan pelaksanaan pelarasan subsidi diesel setakat ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, permohonan itu antaranya melibatkan golongan petani dan pekebun kecil di seluruh Semenanjung.

“Rekod terbaharu mendapati jumlahnya sudah banyak dan berharap lebih ramai lagi membuat permohonan itu.

“Kita (kementerian) semestinya akan membantu memudahkan urusan kepada pemohon inisiatif kerajaan itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan jumlah permohonan bagi bantuan tunai Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi melalui https://budimadani.gov.my mengalami peningkatan mendadak.

Penerima yang layak di bawah dua kategori itu akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan selaras pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Budi Agri-Komoditi merupakan sumbangan tunai bagi petani dan pekebun kecil di Semenanjung yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Dalam pada itu, kata Mohamad, Malaysia berpotensi untuk menerokai pasaran produk makanan ke Negara Bebas Komanwel (CIS) bagi meningkatkan lagi jumlah eksport negara.

“Sebagai contoh, kopi negara kita seperti Tongkat Ali turut dikenali di luar negara dan boleh diterima pasaran antarabangsa. Justeru, kita perlu menggunakan peluang itu untuk menerokainya di negara CIS seperti Kazakhstan dan Tajikistan,” ujarnya.

Ditanya mengenai usaha KPKM membantu masyarakat Orang Asli mengusahakan tanaman durian dalam skala besar, kata beliau, perkara itu masih dalam perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Masyarakat itu sememangnya ada menanam durian secara kecil-kecilan namun agak sukar sedikit kerana ancaman gajah seperti di Perak. Justeru, kita kini akan berunding dengan JAKOA dan pemimpin Orang Asli mengenai perkara itu secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN