10,160 tiada SPM boleh sertai TVET

10,160 tiada SPM boleh sertai TVET

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan para peserta yang menyertai sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seramai 10,160 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kini boleh memohon untuk memasuki Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET terbuka untuk menerima mereka dengan menguasai tahap mi­ni­mum 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, agar masa depan terjamin.

“Peluang amat terbuka luas untuk mereka memasuki universiti ataupun jika mereka mahu bekerja dahulu selepas SKM 1 dan SKM 2, mereka boleh terus bekerja.

“Ataupun bekerja sambil belajar ataupun belajar sambil bekerja pun boleh juga dilakukan kerana ada kursus-kursus yang ditawarkan bersesuaian dengan masa anjal yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institusi Latihan Perindustrian Kuala Langat, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, TVET yang berjumlah 1,345 buah terdiri daripada sektor kerajaan dan swasta di seluruh negara kini menerima kira-kira 280,000 jumlah permohonan kemasukan yang terdiri daripada lepasan SPM.

Hal demikian, katanya, menunjukkan minat terhadap pembelajaran dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi permintaan dalam pasaran pekerjaan begitu tinggi apabila melebihi 250,000 tempat yang ditawarkan.

Bagaimanapun, tambah beliau, daripada jumlah tersebut diharapkan sekurang-kurangnya 40 peratus akan menerima tawaran pertama pada Julai bagi 2024 sebelum ia dibuka secara berperingkat kepada semua pemohon-pemohon.

“TVET menjanjikan peluang pekerjaan berkemahiran dengan tawaran gaji yang tinggi dan bidang tersebut sudah pun menjadi pilihan utama lepasan sekolah menengah seperti di Jepun.

“Di Jepun umpamanya TVET dikenali sebagai ‘Kosen’ yang menjadi pilihan utama kepada semua lepasan sekolah menengah dalam peringkat umur melebihi 15 tahun. Jadi, di Malaysia, Kementerian Pendidikan memulakan TVET melalui Kolej Vokasional dan Kolej Teknik daripada lepasan tingkatan tiga untuk memasukinya mereka perlu menduduki ujian bertulis atau oral (temuduga).

“Saya sebutkan bahawa permohonan untuk memasuki mana-mana institusi TVET boleh dibuat secara permohonan atas talian yang terdapat lebih 4,000 kursus disebutkan tadi dan pilihlah mana-mana 10 pilihan dan kita akan pastikan setiap permohonan akan mendapat tempat,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, menerusi program TVET, pekerja-pekerja e-hailing dan p-hailing seramai kira-kira 1.16 juta perlu mengambil peluang untuk menyertai institusi-institusi di seluruh negara yang menawarkan upskilling dan reskilling.

“Kepada mereka agar selepas umur tertentu apabila produktiviti menurun, mereka boleh memasuki kursus TVET untuk masa depan,” ujarnya.

Dalam program tersebut, hampir 50 pempamer menyertai Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang terdiri daripada pemain industri dan institusi TVET dalam pengisian lima hub yang meliputi pameran TVET, seminar, pameran dan karnival kerjaya, keusahawanan serta cabaran TVET.

Malah, program tersebut dijangkakan menerima lebih 100,000 pengunjung pada yang berlangsung sejak semalam hingga hari ini dan menyasarkan lepasan SPM dan institusi TVET untuk menghadirinya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, TVET tidak semata-mata untuk pelajar yang kurang bernasib baik dalam akademik atau sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Sebaliknya, ia juga dibuka luas kepada semua termasuk pelajar cemerlang dalam akademik untuk menyertai TVET jika mereka mempunyai minat dalam bidang tersebut.

“Boleh, kita dapati ia dapat memendekkan tempoh kursus, umpamanya pelajar cemerlang dalam STEM atau akademik, terdapat kira-kira 11,173 yang mendapat semua A dan mereka boleh memasuki bidang TVET juga. Peluang untuk memasuki kolej dan universiti TVET juga ada.

“Kini terdapat lima buah universiti TVET di negara kita termasuk UniKL, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), mereka boleh memilih untuk terus masuk melalui peringkat awalan seperti Giatmara, Institut Kemahiran Malaysia (IKM), Politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN