Yasmin Hani buka mulut pasal ‘Duyung’ - Utusan Malaysia

Yasmin Hani buka mulut pasal ‘Duyung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih ingat bagaimana filem Duyung arahan Prof. Abdul Razak Mohaideen ‘meletup’ di pawagam tempatan ketika ia mula ditayangkan pada 2008?

Ketika itu, boleh dikatakan, tiada filem seumpamanya dilakukan oleh produksi dalam negara kerana naskhah seperti Duyung, secara efektifnya memakan kos yang tinggi. 

Ia melibatkan proses penggambaran secara keseluruhannya yang meliputi set lokasi yang mana, hampir 40 peratus babak membabitkan dasar laut dan selebihnya masih berlatarkan laut.

Itu belum membabitkan kos penghasilan kostum dan pembinaan set yang semestinya perlu bertepatan dengan penceritaan dan imaginasi umum mengenai Duyung itu sendiri. 

Lalu, apabila salah seorang pelakon filem Duyung, Yasmin Hani, membuka mulut mengenai wujudnya hasrat Razak Mohaideen untuk menghasilkan sekuel filem tersebut, tentunya harapan dan jangkaan peminat naskhah berkenaan juga menjadi lebih tinggi berbanding yang pertama. 

Pun begitu, bukan semua isi perancangan filem berkenaan dibualkan oleh Yasmin. 

Meskipun mengesahkan filem Duyung 2 bakal dilakukan tidak lama lagi, baginya, tidak adil untuk dia menghebohkan semuanya tanpa lampu hijau daripada pihak produksi sendiri. 

“Apa yang saya boleh kongsikan, bulan September nanti saya akan terbabit dengan filem Duyung 2. Okey, tak banyak yang saya boleh kongsikan mengenainya kerana lebih baik tunggu pihak produksi yang buat pengumuman rasmi. 

“Bakal dibuat dimana, lokasi dan sebagainya, semua saya tak boleh maklumkan lagi. Tetapi apa yang pasti, naskhah itu akan jadi lebih menarik berbanding yang pertama.

“Dalam filem terdahulu, saya pegang watak Aspalela. Kekasih Jimmy lakonan Saiful Apek. Watak yang sama, tetapi dalam filem sekuel ini, menariknya duyung akan ada lebih ramai,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini. 

Berkongsi lanjut, kata Yasmin, meskipun filem cereka fantasi itu telah dijayakannya pada sekitar 17 tahun lalu, keterujaannya untuk terbabit sekali lagi masih sama sebagaimana ketika kali pertama ditawarkan peluang itu. 

“Sudah tentulah saya adalah orang yang paling gembira kerana dapat buat sesuatu yang saya suka. Bagi mereka yang mengenali, saya ini memang individu yang suka pulau.

“Saya suka pantai dan tak kisah berpanas terik. Memang jenis yang suka alam semulajadi berbanding di bandar. 

“Pendek kata, tak payah risau kononnya saya ini takut panas. Itu salah. Saya malah anggap tempat seperti itu adalah lokasi ‘healing’ terbaik buat diri. Jadi, tak ada masalah untuk saya terima lagi tawaran ini dan kembali bekerja di bawah panas mentari,”katanya.

Sedar bahawa mungkin akan ada gelombang kritikan baharu untuk Duyung 2 kelak, Yasmin bagaimanapun menganggap ia sebagai satu lumrah dunia seni hiburan. 

“Kritikan itu biasa. Kita pun faham penonton akan letak jangkaan tinggi setiap kalinya. Tetapi Insya-Allah, akan ada gelombang positif. Sebabnya, masa kali pertama dilakukan, ia pun mendapat kritikan juga.

“Bagaimana cara atau apa pun ia dilakukan, ketika itu, itulah Duyung yang pertama ada di Malaysia dalam versi itu. 

“Saya pasti, selain saya, seluruh tenaga produksi pun akan berfikiran terbuka. Satu lagi, penonton pun mestilah nak tengok Duyung tu cantik. Asalkan jangan buruk dan jalan cerita pun menarik, penonton akan layan cerita ini.

“Selain watak-watak asal seperti Aspalela dan Jimmy, watak Orix pun ada lagi. Nantikan,”katanya. 

Untuk info, filem Duyung (2008) telah diterbitkan oleh KRU Films dengan usahasama Grand Brilliance selain kerjasama Lineclear Motion Pictures. 

Penggambarannya telah dilakukan di pantai timur Sabah iaitu di Pulau Sipadan selama 25 hari.

Duyung mengisahkan Jimmy (Saiful Apek), seorang pemuda yang mempunyai satu tabiat sejak kecil dimana dirinya suka menjaga kebersihan alam sekitar. 

Jimmy juga mempunyai sikap yang ganjil sehingga semua penduduk kampung tidak suka dengannya termasuk kelakuannya suka berkawan dengan Orix (Yassin Yahya), seekor haiwan spesis big foot. 

Jimmy juga menaruh hati terhadap Aspalela (Yasmin Hani), anak kepada Wak Pagek (Hafidzuddin Fazil) dan begitu juga Aspalela. 

Selain itu, barisan bintang yang terbabit dalam filem ini sebelum ini ialah Maya Karin (duyung), Awie, Raja Noor Baizura, Liza Zain, Rosnah Mat Aris dan Iqbal Mydin. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×