KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan melancarkan ‘WhatsApp Chatbot’ untuk mengesahkan sebarang berita yang dikongsi dalam aplikasi WhatsApp.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, memandangkan aplikasi WhatsApp telah menjadi platform untuk orang ramai berkongsi maklumat yang tidak sahih dan berita palsu, kerajaan memutuskan untuk mencari jalan bagi memerangi berita palsu ke aplikasi tersebut.
“Sebagai langkah untuk mengesahkan maklumat yang diterima melalui WhatsApp, pengguna hanya perlu memajukan teks tersebut ke Chatbot dan ia akan membalas kepada pengguna dalam beberapa saat.
“Pihak kementerian kini di fasa terakhir untuk melaksanakan WhatsApp Chatbot itu. Saya secara peribadi telah menguji aplikasi itu dan ia sangat bagus,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri ‘Jelajah Hawana 2024’ (Dialog Bersama Pelajar) di Perpustakaan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Menurut beliau, aplikasi WhatsApp Chatbot dilengkapi dengan pelbagai bahasa untuk memudahkan orang ramai dan dijangka dilancarkan pada waktu terdekat ini.- UTUSAN










