Warga Beris Lalang seminggu hidu asap

Warga Beris Lalang seminggu hidu asap

ASAP kebakaran hutan menyebabkan keadaan jerebu di sekitar Kampung Beris Lalang, Bachok, Kelantan, sejak seminggu lalu. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Lebih 3,000 penduduk Kampung Beris Lalang, di sini mendakwa terpaksa hidup bersama asap sejak seminggu lalu susulan kebakaran hutan akibat cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Beris Lalang semalam mendapati kawasan tersebut berjerebu dan berkabus sekali gus mengehadkan jarak penglihatan.

Pada masa sama, beberapa warung menjual makanan terpaksa menutup operasi disebabkan oleh asap tebal.

Seorang peniaga, Nohaniza Mohd. Zakaria, 45, berkata, si­tuasi itu mengganggu kehidupan mereka selain menjejaskan kesihatan.

Menurutnya, ekoran itu penduduk terpaksa ‘berkurung’ di dalam rumah selain tidak dapat menjemur pakaian disebabkan asap tebal.

“Asap tebal dan berbau turut menyebabkan ahli keluarga saya menghidap penyakit asma.

“Pada masa sama, lebih 500 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Beris Lalang dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Darul Iman telah dinasihatkan pengurusan sekolah masing-masing memakai pelitup muka ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Beris Lalang, di sini semalam.

Nohaniza memberitahu, ibu bapa sudah dimaklumkan su­pa­ya membekalkan pelitup mu­ka kepada anak-anak masing-ma­sing dan menasihatkan mereka supaya tidak bermain di luar rumah selepas waktu persekolahan.

Seorang lagi penduduk, Ismail Mat, 56, berkata, mereka bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya pusat pelupusan sampah terbakar dise­babkan cuaca panas dan kering ketika ini.

Katanya, dia berharap kebakaran tersebut akan pulih dalam masa terdekat bagi memastikan penduduk kembali menjalani ke­hidupan lebih selesa.

“Pada masa sama, saya harap pemilik tanah kebun tidak melakukan pembakaran terbuka sehingga penduduk menanggung bahaya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN