HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) merangka strategi untuk menarik pengundi-pengundi Kuala Kubu Baharu yang berada di luar kawasan pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei ini.
Calon PH, Pang Sock Tao berkata, beberapa strategi sudah dilakukan bagi memastikan pengundi di luar kawasan pulang mengundi.
“Salah satu strategi yang boleh dikongsikan adalah saya telah merakam video untuk menyeru pengundi-pengundi Kuala Kubu Baharu untuk balik mengundi.
“Saya rakam video (itu) di dalam pelbagai bahasa (iaitu) Mandarin, Bahasa Melayu, Hokkien dan Hakka tetapi bahasa Tamil (saya minta) maaf, saya tidak boleh bercakap (menggunakan bahasa tersebut),” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Dalam pada itu, calon PN, Khairul Azhari Saut berkata, jentera kempennya kini sedang bekerja untuk menarik perhatian pengundi-pengundi luar.
“(Ini) untuk memastikan pengundi-pengundi luar dapat balik,” katanya.
Katanya, jentera PN turut mendekati pengundi-pengundi baharu yang tidak sedar mereka sudah layak untuk mengundi dalam PRK Kuala Kubu Baharu ini.
“Kita juga tahu terdapat ramai pengundi baru terutamanya yang mungkin mereka sendiri tidak tahu mereka layak untuk mengundi sebab keadaan sekarang (adalah pendaftaran) automatik.
“Kita sentiasa berhubung dengan pengundi-pengundi baru,” jelasnya.-UTUSAN










