Universiti awam kurang tenaga pengajar pakar perubatan

Universiti awam kurang tenaga pengajar pakar perubatan

Universiti Awam (UA) bukanlah model perniagaan kapitalisme yang ditubuhkan untuk menjana keuntungan sebaliknya ia merupakan institusi ‘pelaburan’ penting bagi masa depan negara.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti awam di Malaysia memerlukan 1,200 orang lagi pensyarah pakar jika negara mahu melahirkan 12,000 pakar perubatan menjelang 2030.

Buat masa ini, institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan kursus perubatan, hanya mempunyai 2,400 pensyarah pakar perubatan terma­suk 1,800 dalam bidang klinikal.

Jumlah itu jauh tidak mencukupi untuk memenuhi pengajian program perubatan bagi melahirkan lebih ramai doktor pakar seterusnya menampung keperluan 28,000 doktor pakar menjelang 2030.

Untuk itu, kekurangan pensyarah pakar perubatan di IPTA perlu diatasi segera jika negara mahu melahirkan lebih ramai doktor pakar bagi ditempatkan di klinik dan hospital kerajaan untuk merawat 33.2 juta penduduk terutama golongan B40.

Pengerusi Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam Malaysia, Prof Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, untuk bergelar pakar perubatan, setiap doktor perlu menjalani program pascasiswazah selama empat tahun di mana-mana universiti.

Menurut beliau, hasrat negara untuk melahirkan 12,000 pakar perubatan menjelang 2030 berdepan laluan sukar jika masalah kekurangan pensyarah pakar perubatan di IPTA tidak diatasi.

“Untuk melahirkan pakar perubatan, ia memerlukan tenaga pengajar. Namun, terdapat universiti berdepan defisit (kurang) pensyarah. Jadi, bagaimana hendak melahirkan pakar perubatan dalam negara, yang memerlukan anggaran 28,000 doktor pakar pada 2030.

“Ada IPT yang menerima banyak permohonan untuk menjadi pensyarah (perubatan), tetapi tiada tawaran dibuat kerana kekangan perjawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, Malaysia ha­nya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan. Jumlah tersebut tidak cukup untuk merawat 80 peratus daripada 33.2 juta penduduk terutama dalam kala­ngan B40.

Kekurangan doktor pakar itu melibatkan pelbagai bidang antaranya pakar kardiotorasik (jantung), onkologi (kanser), pe­­rubatan paliatif (kanser), pe­rubatan geriatrik (penyakit orang tua), neurosurgeri (otak), obstetrik (sakit puan) dan ginekologi serta psikiatri.

Akibat kekurangan tersebut, hanya 70 daripada 145 hospital kerajaan menyediakan khidmat doktor pakar, manakala bakinya menyediakan khidmat pakar secara lawatan.

Mengulas lanjut, Dr. Jamalludin berkata, isu prasarana dan fasiliti latihan klinikal juga perlu diambil perhatian untuk melahirkan lebih ramai doktor pakar.

Justeru, kata beliau, pihak­nya bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan, telah merangka beberapa langkah untuk menangani masalah kekurangan pakar perubatan di negara ini.

“Tiga cadangan dikemukakan antaranya, meningkatkan sumber manusia termasuk jumlah pensyarah perubatan bagi program pascasiswazah perubatan.

“Selain itu, meningkatkan fasiliti termasuk mewujudkan pengkongsian kemudahan antara hospital pengajar universiti (HPU) dan fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya.

Kata Dr. Jamalludin lagi, pihaknya yakin cadangan itu dapat dilaksanakan menjelang 2030 sekaligus negara mampu melahirkan lebih ramai doktor pakar.

Sementara itu, Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin pula berkata, kekurangan doktor pakar akan memberi kesan kepada sistem kesihatan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang jika tidak ditangani segera.

Katanya, masalah itu juga berkemungkinan mengakibatkan krisis sumber manusia dalam sektor kesihatan berte­rusan.

“Sudah pasti beri kesan secara langsung dalam jangka masa panjang, di samping semakin kurang generasi muda menceburi industri perubatan.

“Pola ini sudah dapat dilihat sekarang apabila doktor pelatih sangat kurang dan hanya ditempatkan di hospital besar negeri sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN