KOTA BELUD: ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Itu pepatah yang paling tepat menggambarkan situasi yang berlaku terhadap penoreh getah yang kini bergelar jutawan.
Penoreh getah, Johni Satur, 57, berkata, dia sendiri tidak menyangka akan terpilih sebagai salah seorang penerima cabutan Skim Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Memang terkejut, ada gegar sikit semasa diberitahu saya menang cabutan jadi jutawan.
“Pada awalnya, saya ingatkan panggilan itu scammer dan kawan pun memberitahu jangan dulu sambut telefon. Tapi, selepas sepupu memaklumkan kepada isteri saya, barulah saya tahu yang menelefon saya tu daripada BSN.
“Saya juga datang ke kaunter BSN untuk bertanya mengenai cabutan berkenaan. Minggu lepas baharu tahu saya menang cabutan sedangkan cabutan dibuat pada April,” katanya semasa ditemui di kediamannya di Kampung Lasau Minunsud, semalam.
Bercerita lanjut katanya, dia mula menyimpan wang dalam akaun SSP BSN selepas wang daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) miliknya boleh dikeluarkan pada 2022.
Semasa ingin menyimpan wang KWSP dalam akaun BSN, pekerja di kaunter menasihatkannya agar menabung dalam akaun SSP kerana akaun tersebut sukar untuk ditipu oleh scammer.
Menurut Johni, siapa sangka penoreh getah yang hanya memperoleh RM500 sebulan mampu bergelar seorang jutawan.
Ayah kepada lima orang anak itu berkata, wang yang dimenangi itu akan digunakan untuk membina sebuah rumah baharu kerana rumah yang diduduki sekarang mengalami bocor dibahagian atap.
“Biasalah rumah lama memang ada bocor sana sini jadi, wang itu nanti saya akan gunakan untuk buat rumah di tempat baharu kerana kawasan rumah sedia ada ini terlalu sempit,” katanya.
Johni adalah jutawan ke-99 yang memenangi cabutan SSP BSN dan individu keempat dari Sabah yang terpilih menjadi jutawan. Penyampaian cek replika disampaikan oleh Naib Presiden Kanan yang juga Ketua Komunikasi Korporat BSN, Aizurra Mellissa Muzammil. – UTUSAN










