Tiga penjawat awam minta, terima rasuah direman - Utusan Malaysia

Tiga penjawat awam minta, terima rasuah direman

TIGA penjawat awam yang disyaki meminta dan menerima rasuah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga penjawat awam di sebuah jabatan berkaitan tanah daerah ini, ditahan reman selama enam hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM25,000 bagi memudahkan urusan permohonan tanah E-Haram di negeri ini pada 2022 hingga 2023.

Perintah reman sehingga Sabtu terhadap ketiga-tiga suspek itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Perintah reman itu bagi membolehkan ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Akta 17 (a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki yang berusia lingkungan 30an hingga 40an itu ditahan pada petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM daerah Kemaman.

Sumber berkata, kesemua suspek disyaki terlibat dalam menjalankan siasatan, membuat pengukuran sempadan serta menyediakan ulasan teknikal bagi tanah yang dimohon.

“Suspek disyaki menerima antara RM500 hingga RM800 mengikut tugasan daripada pemohon dan didapati wujud beberapa transaksi wang ke akaun salah seorang suspek sehingga mencecah kira-kira RM25,000 sepanjang tahun 2022 hingga 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×