Tiga PATI Myanmar dipenjara ceroboh hutan simpan, melombong NR-REE - Utusan Malaysia

Tiga PATI Myanmar dipenjara ceroboh hutan simpan, melombong NR-REE

TIGA lelaki Myanmar yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini kerana menceroboh Hutan Simpan Bintang Hijau di Hulu Perak dan melakukan aktiviti perlombongan NR-REE Disember lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tiga lelaki warga Myanmar dihukum penjara antara satu dan tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menceroboh Hutan Simpan Bintang Hijau di Hulu Perak dan melakukan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), Disember lalu.

Hakim Rohaida Ishak memutuskan demikian terhadap Ng Mg Win, 28; Ng Win Khin, 36, dan Kyaw Kyaw Sab @ Kyaw Kyaw San, 39, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa telah memasuki hutan simpanan kekal tersebut tanpa permit memasuki hutan simpanan kekal yang sah di Kompartmen 64 dan 58 Hutan Simpan Bintang Hijau dalam daerah Hulu Perak pada 8 Disember 2023 pukul 3.30 petang dan 9 pagi, 9 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 47(1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 47(4) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan setiap tertuduh hukuman penjara setahun bermula dari tarikh tangkapan pada 8 Disember lalu.

Pada prosiding di mahkamah sama, Mg Win dan Win Khin turut mengaku bersalah atas tuduhan menjalankan aktiviti melombong mineral tanpa permit.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) enakmen sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi kesalahan tersebut ialah denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Rohaida kemudian menetapkan kedua-dua lelaki itu masing-masing dikenakan hukuman penjara dua tahun dari tarikh ditangkap. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×