KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) naik ke puncak Liga Super sekurang-kurangnya untuk seketika apabila menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Skuad Penyu bermula garang menyaksikan bola umpanan ketua pasukan, Safawi Rasid minit ke-12 singgah di kaki Manuel Ott namun percubaan pemain tengah Filipina itu melambung tinggi.
Tiga minit kemudian TFC mengasak kubu pelawat menerusi hantaran Ubaidullah Shamsul Fazili dari sebelah kiri namun tandukan Ismaheel Akinade tersasar ke sebelah tepi.
Gol pendahuluan TFC menjelma minit ke-36 setelah video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran oleh pemain KDN terhadap Safawi di dalam kotak penalti yang disempurnakan Akinade.
KDN yang dilatih pengendali Korea Selatan, Park Jaehong sesekali melakukan serangan balas malangnya sepakan percuma Kharoub Ali Abdalrahim minit ke-36 tepat ke arah penjaga gol tuan rumah.
Kesempatan itu diambil TFC untuk membawa kelebihan dua gol ke bilik persalinan setelah gerakan Akinade dari sebelah kanan mudah disambar Nurillo Tukhtasinov minit ke-45.
Sang Penyu makin garang seminit selepas rehat apabila percubaan leret Akinade dari dalam kotak penalti hasil umpanan Safawi diselamatkan penjaga gol untuk sepakan sudut.
Berpunca sepakan sudut itu, Ott (m-47) bijak melakukan voli menarik dari depan pintu gol menewaskan Khatul Anuar Md. Jalil untuk meletakkkan Sang Penyu selesa mendahului tiga gol tanpa balas.
Pintu gol TFC kemudian nyaris bocor apabila gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya mujur rembatan kencang Asraff Aliffuddin Yasin minit ke-50 sekadar menggegar palang.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat membolehkan TFC memungut tujuh mata untuk mendahului carta Liga Super sebelum empat lagi perlawanan berlangsung esok dan Ahad. – UTUSAN










