Elak birokrasi dalam penyelidikan klinikal - PM

Elak birokrasi dalam penyelidikan klinikal – PM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap merasmikan Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2024 di Connexion Conference and Event Centre di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu merebut peluang dan meneroka pembaharuan serta mengelakkan birokrasi yang tidak perlu bagi mengekalkan kualiti dan standard dalam penyelidikan klinikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting untuk kekal berdaya saing dalam perkembangan global.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu mesti dicerminkan dengan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik garis masa. 

“Selain itu, peluang pelaburan untuk industri penyelidikan klinikal mesti dipermudahkan dan peraturan serta dasar dikemas kini untuk kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

“Kerajaan mengiktiraf nilai tinggi dalam membangunkan negara sebagai hab ujian klinikal global selain mengakui penyelidikan klinikal sebagai industri yang sedang berkembang pesat di negara ini,” katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri dibaca oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2024 di sini, hari ini.

Penyelidikan klinikal yang ditaja menjana pendapatan berjumlah RM1.16 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 2012.

Mengulas lanjut, Anwar berkata,, hasil kemajuan industri penyelidikan klinikal akan meningkatkan perkhidmatan sokongan seperti Pertubuhan Penyelidikan Kontrak (CRO), makmal, kilang pembuatan serta perkhidmatan logistik sekali gus membuatkan lebih ramai tenaga kerja mahir diwujudkan untuk menyokong keperluan industri.

“Perkara itu dapat dilihat melalui PAREXELMalaysia, di mana Pusat Pengurusan Data disediakan bagi menyokong keperluan rantau ini. 

“Selain itu, dengan penubuhan Hematogenix iaitu makmal onkologi pusat dengan Malaysia sebagai satu daripada empat lokasi global menyumbang kepada pekerjaan saintis dan bioinformatika di negara ini,

“Nilai sosio-ekonomi yang dibawa oleh penyelidikan klinikal menjana lebih 2,700 pekerjaan mahir direkodkan dalam bidang penyelidikan klinikal tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly ketika ditemui pemberita berkata,Malaysia sedang berusaha untuk menjadi hab dalam penyelidikan klinikal.

Katanya, usaha itu dengan pengembelengan seluruh pemain dalam industri khususnya berkaitan CRO serta sokongan nama-nama besar di peringkat dunia.

“Untuk bekerjasama sinergi dan akhirnya kita memberi kesejahteraan kepada pesakit  dan meningkatkan sektor penjagaan kesihatan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN