Tentang habis-habisan - Sabri Yunus ajak boikot tayangan secara haram filem dan drama - Utusan Malaysia

Tentang habis-habisan – Sabri Yunus ajak boikot tayangan secara haram filem dan drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, pengarah dan penerbit, Sabri Yunus, 62, berharap penayangan filem dan drama secara haram di platform digital dapat segera dikekang dan dihalang dari terus berleluasa.

Menurut Sabri, meskipun ada kebaikan dan keburukan, kegiatan tersebut perlu ditentang habis-habisan.

Katanya lagi, masyarakat harus sedar bahawa mengambil dan menayangkan filem serta drama tanpa kebenaran tidak ubah sebagai merompak di alam maya.

“Secara peribadi, memang ada kebaikan. Contoh berlaku kepada drama Pok Ya Cong Codei yang menerima sambutan luar biasa dan bertukar fenomena selepas ia ditayangkan di Youtube.

“Disebabkan populariti, stesen televisyen menawarkan saya untuk menghasilkan rantaian bagi drama tersebut. Itu bahagian positifnya.

“Namun, ia tetap salah kerana pihak tidak bertanggungjawab telah mengambil hak orang lain dan menjana pendapatan darinya.

“Aktiviti ini salah di sisi agama dan undang-undang dan perlu dikekang kerana perniagaan drama dan filem boleh terkesan disebabkannya. Daripada sudut perundangan sudah terang-terang salah, kalau tetap mendapat sokongan, dimana kefahaman tentang halal dan haram” jelasnya.

Kata Sabri lagi, stesen TV yang mengalami kerugian pasti akan berkira-kira untuk mengeluarkan peruntukan bagi menghasilkan drama yang lain. Dan kerana itulah penghasilan drama atau filem akan menjadi terencat.

“Oleh itu, janganlah kita sokong kegiatan sebegini, kena tentang habis-habisan kerana ia hanya akan mejahanamkan industri,” komennya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN