YAN: Kerajaan negeri ‘terlepas’ peluang untuk meraih pendapatan hampir RM100 juta setahun melibatkan tanah sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang sepatutnya dibangunkan untuk tujuan perumahan, komersial dan industri.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, terdapat 10,000 hektar tanah sawah MADA yang dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di negeri ini untuk pembangunan perumahan.
Menurutnya, 400 hektar lagi sesuai untuk pembangunan industri serta beberapa hektar lagi untuk tujuan komersial.
“Kalau ikut RTD, kita akan dapat hasil yang lebih banyak melalui cukai tanah, cukai kemajuan, cukai pintu, caj air, sekarang air masuk ke bendang percuma, kalau air pergi ke rumah atau kilang kita boleh caj. Itulah pendapatan yang kita hilang untuk kekalkan kawasan padi.
“Kehilangan dalam RTD sahaja RM100 juta setahun, dalam lima hingga 10 tahun akan datang kerajaan negeri jangka saiz ini akan bertambah jadi kita mohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk melihat perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala yang dikenali sebagai Pusat Mempelam Kedah di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi tentang keputusan kerajaan untuk membenarkan cadangan agar status tanah di kawasan MADA dipindah kepada pembangunan industri dan komersial.
Tambah beliau, walaupun tanah sawah berkenaan masih produktif dan menghasilkan tanaman namun permintaan untuk dibangunkan bagi tujuan lain adalah tinggi.
“Ini pertimbangan oleh Kerajaan Persekutuan, saya harap perkara itu diluluskan. Bukan Perdana Menteri lulus keluarkan tanah itu tak tanam padi. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan kaji lagi, saya harap permohonan fiskal itu dipertimbangkan,” katanya. -UTUSAN









