PUTRAJAYA: Malaysia kekal dengan pendirian tidak membenarkan syarikat yang berdaftar dengan Israel masuk dan melakukan sebarang aktiviti di negara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ini termasuk tidak mengizinkan semua kapal kargo milik rejim zionis itu berlabuh menggunakan pelabuhan di negara ini.
Kara Perdana Menteri, sebelum ini kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membenarkan kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel, Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di negara ini sebelum beliau membatalkan kebenaran itu di bawah keputusan kerajaannya.
“Tak ada. Kita tak benarkan. Yang benarkan pada tahun 2002 itu Tun Mahathir, bawa masuk ZIM, kita dah batalkan.
“Yang benarkan kapal Israel masuk itu Mahathir masa dia jadi Perdana Menteri, dia bagi alasan. Kemudian diteruskan sehinggalah kita batalkan, jemaah menteri batalkan, itu pendirian kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluncurkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir menyarankan kerajaan segera menghalau keluar dua syarikat pembekal senjata utama kepada rejim Zionis selepas kedua-dua syarikat itu iaitu Lockheed Martin dan BAE System didakwa hadir Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.
Difahamkan, kedua syarikat itu tidak berdaftar di Israel sepertimana syarikat perkapalan ZIM.
Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia minggu lalu, kurang lima bulan selepas Anwar mengumumkan semua kapal milik negara Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Semakan MalaysiaNow menggunakan Marine Traffic, aplikasi yang mengesan pergerakan perkapalan antarabangsa, mendapati kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China.
Zim Rotterdam, dengan nombor Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) 9398450, berlayar menggunakan bendera negara Afrika, Liberia. – UTUSAN










