Sukma Sarawak: Perak sasar kedudukan lima terbaik - Utusan Malaysia

Sukma Sarawak: Perak sasar kedudukan lima terbaik

SAARANI Mohamad melancarkan Countdown 100 Hari Sukma Sarawak 2024 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak menyasarkan kedudukan lima terbaik pada temasya Sukma Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, sasaran itu diletakkan kepada 828 atlet untuk membawa pulang antara 30 ke 35 pingat emas.

Katanya, melalui sasaran itu, ia dapat memperbaiki pencapaian direkodkan pada edisi Sukma terdahulu di mana Perak berada pada posisi kelapan dalam senarai keseluruhan.

“Bagi senarai pingat keseluruhan, kita belum lagi menetapkan secara spesifik jumlahnya, cuma sasaran kita adalah untuk memperbaiki pencapaian pada Sukma lalu iaitu berada pada kedudukan lima terbaik.

“Apabila berada pada kedudukan itu, sudah pastilah bilangan pingat emas juga akan bertambah. Jika Sukma lalu, kita hanya peroleh 27 pingat emas, mungkin Sukma di Sarawak ini paling kurang kita dapat 30 ke 35 pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Galasa Caldwell, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim diberi tanggungjawab sebagai Chef De Mission (CDM) Kontinjen Sukma Perak 2024 manakala Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd. Zaki Mahyudin dilantik sebagai Timbalan CDM.

Mengulas mengenai persiapan atlet, beliau berkata, kem bakat dan kem bagi sukan tertentu telah pun bermula tahun lalu di mana terdapat sukan-sukan yang diberi lebih tumpuan pada Sukma nanti.

Katanya, ini termasuk sukan kombat yang menawarkan jumlah pingat yang besar sekali gus mencipta peluang untuk Perak mencipta kejuaraan.

“Ruang dan peluang untuk Perak mencipta kejayaan dalam sukan kombat ini ada, kerana ada antara sukan-sukan itu kita adalah kuasa besar seperti judo, silat, kabaddi, silambam dan muay Thai,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, bagi membuktikan keseriusan kerajaan negeri untuk memperbaiki pencapaian Sukma, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan dilantik menjadi keluarga angkat kepada setiap sukan yang dipertandingkan.

Katanya, selain MMKN, keluarga angkat itu juga akan disertai agensi-agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Lembaga Air Perak (LAP) dan Lumut Port.

“Kita mahu membuktikan keseriusan untuk memastikan Sukma ini bukan setakat ahli MMKN dan Majlis Sukan Negeri saja terlibat, tetapi kita perlu libatkan semua agensi kerajaan untuk membantu kerana mereka juga ada kepakaran dan kemahiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN