SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Politik, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Syed Amir Muzzakkir Al Syed Mohamad berdepan pertuduhan kedua kes suapan RM350,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
“Saya mohon dibicarakan,” kata Syed Amir Muzakkir.
Berdasarkan pertuduhan, Sayed Amir Muzzakkir, 42, didakwa meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada Wan Azhar bin Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd.
Suapan tersebut dikatakan sebagai upah untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM381,112,042.44.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat pejabat syarikat itu di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, di sini, pada pukul 4 petang awal Disember 2020.
Justeru, beliau dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong, kemudian memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selain meminta prosiding di sekalikan di mahkamah tersebut bagi pertuduhan rasuah yang dihadapinya di sana.
Peguam mewakili tertuduh, Md. Yunos Shariff, menyokong permohonan tersebut terutama berkaitan jaminan dan pemindahan perbicaraan di mahkamah tersebut.
Hakim Awang Kerisnada membenarkan permohonan itu dan sebutan semula perbicaraan dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur seperti ditetapkan pada 12 Julai, semalam.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, semalam membenarkan Sayed Amir Muzzakkir diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta diarah melapor diri ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan setiap bulan.
Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 bagi membantu syarikat sama mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan polis, empat tahun lalu.
Untuk rekod, tertuduh adalah bekas setiausaha politik Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, bukan setiausaha politik Menteri Besar Perlis yang dilaporkan akhbar sebelum ini. – UTUSAN










