TAIPING: Sepasang suami isteri antara tiga yang terbunuh dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 262.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Trong di sini, semalam.
Kemalangan pada kira-kira pukul 10.30 malam itu mengorbankan Mohd. Fahimi Shaffie dan isterinya, Nor Aserah Ismail, masing-masing berusia 36 tahun.
Pasangan itu yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga anak mereka cedera.
Turut terkorban ialah penumpang kereta jenis Honda Civic, Haminah Majid, 73, juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, maklumat awal kemalangan diterima melibatkan dua kereta dan sebuah lori.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Perodua Bezza terbabit melanggar bahagian belakang lori yang dipandu di lorong kiri jalan.
“Kemudian datang kereta Honda Civic dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak lalu terlanggar Perodua Bezza mengakibatkan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –UTUSAN










