HULU SELANGOR: Walaupun jauh dari pekan Kuala Kubu Baharu, namun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (Tapak Lama) yang tidak lagi beroperasi itu tetap dibuka untuk menerima kehadiran 40 pengundi berdaftar di sana.
Malah, terdapat pengundi menganggap pusat pengundian itu menyimpan seribu kenangan apabila sanggup menempuh perjalanan lebih 150 kilometer dengan keadaan jalan yang berliku-liku.
Seorang pengundi warga emas, Chen Geok Ai, 83, dari Petaling Jaya memberitahu undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menyebabkan dia sanggup menggagahkan diri bersama ahli keluarganya pergi ke Bukit Fraser di sini.
Menurutnya, sekolah tersebut merupakan tempat ahli keluarga dan anak-anaknya bersekolah selain pengalaman lebih 40 tahun tinggal di kawasan terpencil itu suatu ketika dahulu.
“Mesti, saya mesti pergi mengundi di sini, terlalu lama tinggal dan banyak kenangan kerana pernah menjadi penjawat awam lebih 30 tahun menjaga rumah-rumah agam milik kerajaan sebelum bersara.
“Dalam tempoh itu juga, sudah banyak pilihan raya yang saya lalui menyebabkan mahu kekal mengundi di sini. Cuma pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu tidak dapat mengundi kerana masalah kesihatan. Jadi, hari ini saya datang,” katanya ketika ditemui selepas mengundi, hari ini.
Sementara itu, anak sulungnya, Jang Sheu Doon, 61, yang menemani ibunya ke pusat pengundian tersebut memberitahu pernah bersekolah di SJKC Bukit Fraser dan amat memahami keengganan ibunya tukar pusat pengundian walaupun lebih 20 tahun tinggal di Petaling Jaya.
“Saya dahulu sekolah di situ dan kami pernah ada kehidupan di Bukit Fraser lebih 40 tahun, ketika itu ibu bekerja jaga beberapa buah rumah banglo termasuk Banglo Sultan Sulaiman milik kerabat diraja Selangor,” ujarnya.
Sebelum itu, anak saudara Geok Ai, Lee Chee Meng, 39, yang menjadi pengundi pertama tiba kira-kira pukul 8.40 pagi memaklumkan dia juga enggan berpindah pusat pengundian walaupun perlu menempuh perjalanan yang jauh.
“Saya bersekolah di SJKC Bukit Fraser dan sekolah menengah di Kuala Kubu Baharu. Sekarang tinggal di Seksyen U16, Shah Alam. Memang saya sanggup datang undi di sini supaya ada orang yang menjaga tempat ini,” katanya.
SJKC Bukit Fraser (Tapak Lama) menjadi salah satu daripada 18 pusat pengundian dibuka pada PRK Kuala Kubu Baharu dan cuma mempunyai 40 pengundi berdaftar di situ.
Seramai 18 pengundi dilapor keluar mengundi dekat pusat pengundi tersebut yang ditutup salurannya pada pukul 2 petang.
Bagaimanapun, seorang lagi pengundi, Mohamad Ali Abdullah, 59, menyatakan kesediaan untuk bertukar tempat mengundi apabila tidak lagi tinggal di Bukit Fraser.
“Saya penjawat awam bekerja di Bukit Fraser dan memang berasal dari sini, lahir dan membesar pun di sini. Saya mengundi di sini sudah tujuh kali sejak zaman muda dahulu. Cuma, saya faham tak semestinya perlu selamanya mengundi di situ, bila bersara nanti saya akan tinggal di Kuala Kubu Baharu,” luahnya. – UTUSAN









