PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas Siti Bainun menarik balik rayuannya.
Pada prosiding itu, peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri yang mewakili Siti Bainun, 32, berkata, anak guamnya menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan bagi membolehkannya memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa dan Azizah Mohamad tidak membantah penarikan rayuan berkenaan.
Sebelum ini pada 23 Mei 2023, Siti Bainun gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua belah.
Pada 2 Mei lalu, sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun dikekalkan selepas Hakim Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuannya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini di antara Februari dan Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – UTUSAN










