Siswa UiTM buat 14 laporan polis - Utusan Malaysia

Siswa UiTM buat 14 laporan polis

Laporan polis
RAM Erfan Zur Nuqman (lima, kiri) bersama sebahagian mahasiswa hadir di IPD Shah Alam, Selangor untuk membuat laporan polis berhubung penerbitan artikel oleh sebuah portal berita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 14 laporan polis dibuat oleh persatuan-persatuan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh cawangannya terhadap penulis sebuah artikel yang menyamakan universiti tersebut sebagai ‘akademi aparteid’.

Presiden Institut Pemimpin Muda (IPM), UiTM Shah Alam, Ram Erfan Zur Nuqman, berkata gerakan tersebut dibuat dengan kerjasama pelbagai persatuan termasuk IPM di kampus cawangan Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Menurutnya, laporan polis tersebut dibuat terhadap penulis terbabit yang menyamakan universiti terbesar itu dengan ideologi politik sedemikian sebagai cubaan sengaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu.

“Ia (artikel) bukan bercakap (tentang) masalah-masalah teknikal untuk memasukkan mahasiswa bukan bumiputera dan sebagainya. Tetapi, hanya memfokuskan kepada…memomokkan orang Melayu menindas kaum lain dengan tidak membenarkan kaum lain memasuki UiTM.

“Jadi, pada saya, penulis artikel itu tidak memfokuskan (memahami) asas kepada penubuhan UiTM itu sendiri. Kalau dia baca (sejarah) asas penubuhan UiTM, (akan) faham hak orang Melayu dan bumiputera, dia tidak akan mempertikaikan hak-hak tersebut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir bersama lebih 10 mahasiswa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membuat laporan polis terhadap penulis artikel tersebut. Turut tampil membuat laporan adalah mahasiswa daripada persatuan Ikatan Mahasiswa Pragmatik.

Jelasnya Ram Erfan, penulis sepatutnya memahami asas penubuhan UiTM dan menyedari terdapat banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini yang menerima pelbagai kaum untuk mendapatkan pendidikan tertiari.

“Cuma UiTM sahaja yang dikhaskan kepada Melayu dan bumiputera. Jadi, penggunaan terma aparteid itu yang mendakwa orang Melayu menindas tidak bertepatan, kita boleh katakan isu yang timbul itu berkaitan 3R iaitu isu bangsa,” tegasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) tampil membuat laporan polis semalam berhubung penulisan artikel ditulis oleh Andrew Sia bertajuk ‘Our apartheid academy UiTM’ yang diterbitkan sebuah portal, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan matlamat laporan polis itu dibuat supaya penulis dan penerbit berkenaan menurunkan artikel berkenaan selain membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Selain itu, kita berharap pihak yang bertanggungjawab akan memastikan tiada lagi individu di luar sana akan berani menimbulkan isu-isu berkaitan (serupa), kerana kalau kita tengok baru-baru ini banyak isu sedemikian menyerang UiTM.

“Jadi, kami sebagai mahasiswa berasa amat tertekan kerana perlu fokus kepada pembelajaran, namun kalau kami tak pertahankan universiti keramat kami,” ujarnya.

Dasar penubuhan UiTM berasaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta UiTM 1976 (Akta 173) kembali menjadi polemik bermula dengan program latihan kepakaran kardiotorasik yang ditawarkan satu-satunya dalam negara ini di universiti itu.

Bagaimanapun, isu tersebut melebar apabila terdapat desakan-desakan universiti dengan 34 kampus cawangan di seluruh negara itu membuka ruang bagi menyelesaikan masalah tujuh pelajar yang terkandas selepas program parallel pathway diambil mereka tidak diiktiraf kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN