PETALING JAYA: SIRIM Berhad mencatatkan kejayaan cemerlang dengan meraih enam pingat di Pameran Inovasi dan Teknologi ke-35 (ITEX) 2024 yang berlangsung baru-baru ini menampilkan lebih daripada 700 ciptaan, teknologi, dan produk oleh penyelidik dari lebih daripada 15 negara.
Antara penyelidikan yang memenangi pingat emas termasuklah Komposisi Penguat Imun Pos-Biotik Semulajadi untuk Makanan Tambahan dan Kesejahteraan, Sistem dan Kaedah untuk Menghasilkan dan Mengesahkan Tandatangan Digital.
Selain itu, Bahan Gesel Bebas Asbestos untuk Aplikasi Transit Lalu Lintas Ringan, Biotesto (Bakau Kurap) sebagai Penawar Aphrodisiac Semulajadi untuk Memulihkan Fungsi Seks Lelaki dan Kesejahteraan Am dan Proses Pengeluaran Pereka Pembuatan Pilot Bahan Tempatan Berdasarkan Kolektor Arus untuk Aplikasi Rel.
Menurut kenyataan SIRIM, penyelidikan Komposisi Penguat Imun Pos-Biotik (Pinel IMMUNE) adalah inovasi dalam rawatan imun yang dirumuskan dengan ekstrak posbiotik daripada nanas yang digabungkan dengan strain probiotik terpilih.
Katanya, kajian praklinikal ini mengenal pasti potensi dalam mengurangkan radang sitokin, membuktikan keberkesanan dalam meningkatkan imuniti dan melawan jangkitan.
“Penyelidikan sistem dan kaedah untuk menghasilkan dan mengesahkan tanda tangan digital adalah ciptaan terkini berkaitan dengan sistem tanda tangan digital yang digunakan untuk menghasilkan serta mengesahkan tandatangan digital yang dikodkan ke dalam objek pengenalan automatik dan penangkapan data (AIDC),” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, penyelidikan Biofesto (bakau kurap) merupakan satu inovasi penting dalam penyelesaian prestasi seksual lelaki.
Katanya, kaedah perahan yang digunakan untuk Bakau Kurap berpotensi menjadi piawai yang diterima secara meluas kerana hasil keberkesanan yang tinggi.
“Kajian praklinikal menunjukkan bahawa BIOTESTO menunjukkan potensi untuk meningkatkan tahap testosteron dan hormon pembiakan lain, serta menggalakkan pertumbuhan rambut secara berkesan.
“Proses pengeluaran pereka pembuatan pilot bahan tempatan berdasarkan kolektor arus untuk aplikasi rel meningkatkan kaedah penghasilan komposit karbon-kuprum untuk menghasilkan produk karbon-kuprum menggunakan kaedah pemadatan hangat dan bahan karbon tempatan.
Kulit inti sawit digunakan sebagai bahan alternatif, dicampur dengan serbuk grafit konvensional dan projek inovatif ini bakal mencipta peluang perniagaan baru dengan rakan kongsi strategik untuk tujuan mengkomersialkan teknologi ke dalam aplikasi berbeza seperti berus karbon untuk industri automotif dan elektrik,” kata kenyataan itu.
Bagi projek yang dinamakan Produk Hidrasi Kulit daripada Biji Roselle dan Ekstrak Sintok berjaya meraih pingat perak di pameran tersebut. –UTUSAN










