KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Azura tampil menafikan spekulasi dia kembali mendirikan rumah tangga seperti yang didakwa sebelum ini.
Katanya, khabar angin yang mengejutkan seluruh negara itu tidak benar sama sekali.
“Siapa cakap ‘mak’ kahwin? Main kahwin-kahwin adalah. Satu Malaysia nervous,” responsnya menerusi perbualan WhatsApp bersama rakannya, Sharifah Qhaseh yang dikongsikan di Instastory pelakon tersebut.
Pemilik nama sebenar Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, itu sebelum ini disangka kembali melangsungkan perkahwinan gara-gara perkongsiannya di media sosial.
Hantaran pelakon berusia 53 tahun itu, yang seolah-olah memberi bayangan dia bekahwin lagi, menerima pelbagai reaksi netizen termasuk rakan artis yang melayangkan ucapan tahniah.
Dilaporkan Raja Azura yang juga merupakan kerabat diraja Perak hanya menghadiri majlis perkahwinan sepupunya yang merupakan pengantin lelaki berkenaan.
“Semoga ikatan ini kekal hingga ke jannah. Kepada yang selalu mendoakan, dari dia bersendirian, kini telah berdua,” tulisnya di Instagram.
Pelakon filem Jimi Asmara itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Adzmin Osman pada Mac 2001 bagaimanapun bercerai 10 tahun kemudian.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 22, Megat Luqman Hakim, 21 dan Puteri Mia Maizura, 19.










