NEW YORK: Kontroversi jenayah seksual membabitkan Sean Diddy Combs memasuki episod baharu apabila muncul seorang lagi mangsa memfailkan dakwaan terhadap penyanyi rap tersebut.
Wanita dikenali sebagai April Lampros mendakwa telah diserang, dicabul dan dikasari pemilik nama sebenar Sean John Combs, 54, selama beberapa tahun sekitar awal 90-an.
Dalam pendakwaan yang difailkan semalam waktu tempatan, Lampros turut mendedahkan pernah dipaksa combs untuk mengambil dadah jenis ekstasi dan melakukan hubungan seks dengan bekas teman wanitanya, Kim Porter yang meninggal dunia pada 2018.
Wanita berusia 51 tahun itu turut mendedahkan dirinya dirogol Combs sehingga pengsan di sebuah hotel dekat Manhattan sekitar tahun 1995.
Pendakwaan Lampros difailkan selepas beberapa pertuduhan salah laku seksual lain membabitkan penyanyi lagu I’ll Be Missing You itu difailkan.
Antara mangsa lain yang tampil membuat pendedahan adalah seorang model yang mendakwa penyanyi itu mencabulnya di dalam sebuah studio rakaman dekat sini sekitar tahun 2003.
Terdahulu, Combs mencuri perhatian apabila rakaman menunjukkan dia menyerang penyanyi, Cassie di sebuah hotel di Los Angeles pada 2016 tular di media sosial.
Bagaimanapun pendakwaan yang dibuat Cassie terhadap penyanyi rap itu pada November tahun lalu diselesaikan sehari selepas ia difailkan.











