BATU GAJAH: Lebih 2,500 penduduk Kampung Baru Chenderong di sini terpaksa menghidu bau busuk sejak enam tahun lalu berpunca daripada sebuah premis memproses bangkai haiwan untuk dibuat palet bagi makanan haiwan berdekatan kampung mereka.
Ketua Kampung tersebut, Hoo Kit Yin, 50, berkata, kilang itu mula beroperasi kira-kira enam tahun lalu dan sejak itu mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari daripada premis tersebut yang memproses bangkai haiwan seperti ayam, itik dijadikan palet.
Menurutnya, ini menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tidak selesa.
“Bau busuk paling kuat dihidu pada waktu tertentu sahaja. Dari pagi hingga ke malam, kami terpaksa berhadapan dengan keadaan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Kit Yin, penduduk ada berjumpa dengan pihak kilang untuk meminta mereka menghentikan kegiatan memproses tersebut namun tidak diendahkan.
Katanya, pihak kilang berjanji untuk menghentikan kegiatan tersebut namun penduduk mendapati kegiatan itu masih diteruskan.
“Mereka memproses bangkai haiwan terutamanya bahagian perut dengan menggunakan mesin.
“Setiap hari, ada sebuah lori yang akan membawa keluar bangkai yang telah diproses dan apabila lori tersebut melalui rumah penduduk, satu kampung akan menghidu bau busuk.
“Kami mahukan udara segar, kilang tersebut pun perlu tutup kerana menyebabkan pencemaran udara di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd. Azlan Helmi berkata, isu itu perlu diselesaikan dalam tempoh satu bulan.
“Kami telah menerima beberapa aduan sebelum ini dan kompaun telah pun dikeluarkan namun kilang ini masih beroperasi di tapak haram.
“Hasil daripada semakan, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk tapak pemprosesan ini dan telah mengeluarkan kompaun untuk penutupan kilang ini,” katanya. – UTUSAN










