ISKANDAR PUTERI: Isu kesesakan yang kerap dilaporkan berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) perlu diselesaikan tanpa kompromi.
Penegasan itu dibuat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika bertitah semasa upacara Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Titah baginda, Tambak Johor di Johor Bahru dan dan LinKedua di Gelang Patah, di sini adalah aset penting untuk pembangunan ekonomi negeri.
“Baru-baru kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menaik taraf kualiti perkhidmatan di CIQ BSI dan juga KSAB, namun masih terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.
“Saya ingin melihat isu ini diselesaikan tanpa sebarang kompromi,” titah baginda sambil turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pelaksanaan projek ekonomi berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di negeri ini.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu akan meningkatkan lagi potensi perkembangan ekonomi negeri ini dalam usaha menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
“Pelaksanaan JS-SEZ dan juga SFZ ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan Johor dan Singapura pada masa depan, sekaligus meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan penduduknya.
“Sehubungan itu, penjawat awam di negeri ini diminta untuk meningkatkan produktiviti mereka dalam memastikan semua projek yang dirancang berjalan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan,” titahnya.
Dalam masa sama, baginda turut memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak mengulangi sebarang isu berhubung perselisihan berkaitan agama seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengenakan tindakan undang-undang lebih tegas bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang pada masa depan.
“Ini peringatan pertama dan diharapkan juga yang terakhir, jangan ulangi perbuatan yang akan merosakkan keharmonian di Johor, jangan gunakan sentimen agama demi tujuan politik,” titahnya. – UTUSAN











