PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal, Afieq Shazwan sebelum ini pernah tidak diterima membuat persembahan dalam sebuah majlis gara-gara watak ‘anak ikan’ yang dilakonkannya menerusi drama Rampas Cintaku 2.
Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, yang menyifatkan perkara itu tidak wajar meluahkan rasa kecewa kerana diperlakukan sedemikian.
“Saya agak kecewa dan sedih bila dimaklumkan mengenai perkara ini dan ia merupakan kali pertama berlaku sepanjang pembabitan saya dalam industri seni,” ujarnya.
Kata Afieq, penganjur pada ketika itu beralasan terpaksa tidak membenarkan dia membuat persembahan kerana enggan terpalit dengan kontroversi yang dicetuskan drama tersebut.
“Ia hanya sekadar lakonan, bukannya saya betul-betul menjadi ‘anak ikan’.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersedia sekiranya berdepan perkara yang sama di masa akan datang,” jelasnya.
Rampas Cintaku 2 ini merupakan kesinambungan Rampas Cintaku yang ditayangkan pada tahun 2022. Drama tersebut diarahkan Ejump Mohd, turut dibintangi Fasha Sandha dan Zarul Husin.
Drama itu juga merupakan adaptasi daripada novel Rampas Cintamu nukilan Puteri Jacaranda, terbitan NovelPlus.











