SDG: ECERDC komitmen jadikan Pantai Timur dinamik, berdaya saing - Utusan Malaysia

SDG: ECERDC komitmen jadikan Pantai Timur dinamik, berdaya saing

TENGKU Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil (tengah) merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024: Wilayah Timur di UniSZA, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2024 Wilayah Timur berjaya memupuk kesedaran orang ramai di Pantai Timur mengenai kepentingan projek-projek yang selari dengan matlamat SDG.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata, penganjuran sidang kemuncak itu juga membuktikan komitmen dan pendirian ECERDC dalam menjadikan Pantai Timur sebuah wilayah yang dinamik dan berdaya saing dalam merealisasikan matlamat SDG.

Menurutnya, setiap projek dan program ECERDC yang dibuat sebelum ini sentiasa mengutamakan aspek kelestarian, perlindungan alam sekitar serta pemeliharaan seni, budaya dan warisan.

“Bagi merealisasikannya, peranan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) amatlah penting dalam melaksanakan projek dan inisiatif SDG di peringkat komuniti tempatan.

“Selain itu, ahli akademik juga perlu memainkan peranan menerapkan pendidikan pembangunan mampan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat bagi memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal dalam membangunkan masa depan yang mampan, inklusif dan adil untuk semua rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di majlis penutup Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024: Wilayah Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Sidang tersebut yang disertai 500 peserta dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Baidzawi memberitahu, antara perkara yang dikupas oleh panel-panel sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung adalah kepentingan memastikan aspek warisan dan kebudayaan tempatan serta pemuliharaan alam semula jadi dalam setiap projek pembangunan di Wilayah ECER.

“Pendekatan-pendekatan ECERDC adalah termasuk mempromosikan tenaga hijau, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan rekreasi (RV).

“Tambahan dari itu, PlanMalaysia di Wilayah Timur juga memberikan tumpuan kepada rancangan pembangunan komprehensif melibatkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar serta menekankan pengurusan risiko bencana dan daya tahan, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir.

“Dari sudut pemerkasaan komuniti pula, warga yang terpinggir juga harus terus diberikan perhatian untuk memanfaatkan kemampuan dan kebolehan mereka dalam menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN