Taufan badai timur China, 2 juta penduduk dipindahkan - Utusan Malaysia

Taufan badai timur China, 2 juta penduduk dipindahkan

SEORANG wanita berjalan melewati sebuah kenderaan roda tiga yang terbalik akibat tiupan angin aufan Bavi di Wenling semalam. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Taufan Bavi dilaporkan telah diturunkan taraf kepada ribut tropika kuat pada Ahad selepas membadai timur China, menyaksikan pihak berkuasa tempatan terpaksa memindahkan hampir dua juta penduduk yang berada di laluan bencana tersebut.

Setakat ini, tiada laporan segera mengenai sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan diterima.

Sebelum melanda China, ribut itu terlebih dahulu membadai utara Taiwan dan kepulauan terpencil di barat daya Jepun sehingga mengakibatkan pokok-pokok tumbang serta memutuskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu penduduk.

Cuaca ekstrem itu dilaporkan terus mencetuskan huru-hara di selatan dan tengah China sepanjang minggu lalu, dengan rantaian ribut sebelum ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 39 nyawa serta menyebabkan puluhan sungai melimpah manakala sebuah empangan pecah.

Agensi berita rasmi Xinhua memetik, balai cerap meteorologi wilayah melaporkan bahawa taufan itu mula membadai wilayah Zhejiang sekitar jam 11.20 malam waktu tempatan  Sabtu dengan kelajuan angin mencecah 144 kilometer sejam (km/j).

“Zon impak utama mengalami angin kencang dan hujan lebat dengan aliran air deras terbentuk di atas permukaan tanah selain pokok-pokok di tepi jalan tercabut,” lapor stesen televisyen nasional CCTV ketika Taufan Bavi membadai bandar Yuhuan.

Bencana itu kemudian melanda bandar Yueqing, menyaksikan anggota bomba, pasukan penyelamat dan kakitangan perbandaran bertungkus-lumus mengalihkan lebih 1,300 pokok yang tumbang.

Pentadbiran Meteorologi China menyatakan pusat taufan tersebut telah bergerak menghampiri ibu negeri wilayah Zhejiang, Hangzhou pada 10 pagi waktu tempatan  Ahad dengan membawa angin kencang bertaraf Kategori 10 pada kelajuan sekitar 108 km/j.

Pegawai wilayah Zhejiang meramalkan hujan lebat akan terus melanda kawasan pesisir pantai selain memberi amaran tentang risiko banjir kilat, gangguan sistem pengangkutan, limpahan air sungai serta kemusnahan kawasan pertanian.

Menurut laporan Xinhua, kira-kira 1.72 juta penduduk telah berjaya dipindahkan ke lokasi yang selamat menjelang Sabtu lalu. 

Sebagai langkah kesiapsiagaan, sesi persekolahan, aktiviti pekerjaan, sektor pengangkutan dan sebarang kegiatan luar telah digantung sepenuhnya, manakala lebih 300 penerbangan di wilayah Zhejiang dibatalkan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN