PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api ke atas diesel terlebih dahulu sebelum disusuli dengan RON95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi diesel itu hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
“Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan menangani kos sara hidup.
Katanya, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T2O,” katanya.
Anwar berkaya, penyasaran subsidi diesel itu membantu kerajaan melakukan penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun.
Namun, katanya, butiran terperinci berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel akan diumumkan oleh kementerian berkaitan.
“Ingin ditegaskan, penyasaran subsidi bahan api bukan penarikan mutlak seperti yang cuba digembar-gemburkan segelintir pihak.
“Ia perlu dijayakan untuk menyusun semula struktur kewangan awam. Seperti penyasaran subsidi air dan elektrik, majoriti rakyat tidak menerima kesan dan kekal meraih manfaat subsidi Kerajaan,” katanya. – UTUSAN










