Sarawak yakin keluarkan 10GW tenaga pada 2030

Sarawak yakin keluarkan 10GW tenaga pada 2030

AWANG Tengah Ali Hasan ketika ditemui media sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak yakin mampu mengeluarkan 10 gigawatt tenaga menjelang tahun 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak kini memanfaatkan sumber alam seperti tenaga hidro, solar dan biojisim untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya yakin kita dapat mencapai sasaran ini dengan cara membangunkan dan melibatkan penglibatan pihak swasta untuk menerokai dengan lebih rancak lagi dalam bidang ini.

“Salah satu caranya adalah kita tukarkan loji arang batu yang kita ada kepada loji yang dijana berasaskan biojisim yang merupakan salah satu tenaga hijau yang ada,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 anjuran Kementeriannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Tambah Awang Tengah lagi, peluang sasaran ini dapat dicapai memandangkan kerajaan Sarawak sudahpun membenarkan pihak swasta untuk sama-sama menceburi industri pengeluaran tenaga ini.

“Kita memang mempunyai potensi dan semua sumber mentah yang ada di Sarawak ini kita perlu manfaatkan sebaiknya untuk merealisasikan perkara ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak mendedahkan, kerajaan kini telah membuka peluang kepada pihak swasta untuk bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam usaha mencapai sasaran ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN