JAKARTA: Hasrat pelakon tampan, Verrell Bramasta bergelar graduan universiti Oxford tercapai apabila aktor berkenaan diterima masuk ke universiti berprestij tersebut.
Lapor portal Liputan6, kemasukan pelakon berusia 27 dalam kursus pengajian politik dan hubungan antarabangsa di universiti itu adalah sebahagian persediaannya sebelum secara rasmi bertugas sebagai wakil rakyat Jawa Barat.
“Ini adalah kesempatan luar biasa bagi saya untuk belajar di salah satu universiti terbaik dunia.
“Saya ingin mendapatkan wawasan yang lebih luas, terutama dalam bidang politik dan pemerintahan,” katanya yang mengikuti kursus pendek musim panas anjuran universiti berkenaan.
Aktor yang terkenal menerusi drama Bintang di Langit itu merampas kerusi dewan perwakilan rakyat kawasan berkenaan selepas menang bergaya dengan memperolehi jumlah undian 94.810 ketika bertanding dalam pemilihan umum legislatif Indonesia Mac lepas.
Anak kepada pelakon Venna Melinda itu mengikut jejak artis Indonesia lain yang terjun ke bidang politik seperti Pasha Ungu dan Kris Dayanti.
Verrell sebelum ini menyuarakan kesediaan meninggalkan dunia hiburan selepas secara rasmi dilantik menjadi wakil rakyat kelak.
“Nanti ketika status berubah, bertugas di pejabat publik, secara automatik penampilan, gaya hidup juga perlu diubah dan disesuaikan sewajarnya,” kongsinya.










