RANAU: Kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa pengurusan tertinggi di peringkat Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan keterjaminan makanan.
Pada masa ini, Sabah hanya mencapai tahap sara diri sebanyak 22.8 peratus sahaja dan selebihnya masih bergantung kepada bekalan beras daripada sumber luar atau beras import.
“Susulan itu, pada 17 April lalu, Kabinet negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran dan keselamatan makanan di negeri ini. Ia juga antara usaha kerajaan negeri meningkatkan tahap sara diri beras.
“Selain itu, pemberian insentif pembajakan sawah padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta antara inisiatif yang dilaksanakan dalam Bajet 2024,” katanya semasa majlis pelancaran sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Dewan Masyarakat, di sini semalam.
Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Menurut Hajiji, antara inisiatif lain yang turut dilakukan termasuklah pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta.
Bagi meningkatkan lagi pengeluaran tanaman, katanya, kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan seperti Sawit Kinabalu turut mengambil bahagian dalam penanaman padi dengan kaedah moden untuk meningkatkan tanaman dan bekalan beras tempatan.
Katanya, Sawit Kinabalu telah menyediakan kawasan yang sesuai khusus bagi tujuan tanaman padi .Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita dan banyak lagi yang lain akan dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran serta keterjaminan makanan di negeri ini. – UTUSAN










