Roboh Kampung Sri Makmur, penduduk diberi pampasan RM1,000? - Utusan Malaysia

Roboh Kampung Sri Makmur, penduduk diberi pampasan RM1,000?

Kampung Sri Makmur
PENDUDUK Kampung Sri Makmur berhimpun membantah perobohan rumah mereka bagi memberi laluan pembinaan kondominium mewah di Gombak, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 132 keluarga daripada keseluruhan 153 rumah di kawasan perumahan setinggan, Kampung Sri Makmur, Gombak didakwa didakwa tidak menerima pampasan secara adil daripada kerajaan negeri.

Sejumlah 21 daripada keseluruhan keluarga dilapor menerima pampasan hanya RM1,000 supaya mereka berpindah dari kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kondominium mewah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, hal tersebut menyebabkan sebahagian besar penduduk di sana enggan meninggalkan kediaman mereka sehingga berlaku tindakan provokasi daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, baru-baru ini muncul sekumpulan lelaki mengenakan topeng dan vest hijau di kawasan penempatan tersebut yang mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk.

“Siapa mereka ? Saya yakin, mereka bukan anggota polis atau penguatkuasa Daerah mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT). Justeru, mengapa mereka terlibat ? Apa tujuan dan peranan mereka?

“Ini kerana, kewujudan mereka menimbulkan provokasi, pergelutan, pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di kalangan penduduk. Lihat dalam beberapa video dan gambar yang tular di media sosial.

“Mereka bersikap ganas dan seolah-olah samseng dengan penduduk yang terlibat. Laporan polis dibuat berhubung kumpulan ini dan saya minta supaya PDRM segera menyiasat,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Jelasnya, perkara tersebut pernah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November tahun lalu.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan penguatkuasaan yang kasar dan ganas oleh kerajaan negeri ketika operasi perobohan setinggan di Kampung Sri Makmur. Tindakan ganas seperti yang berlaku dan tular dalam media sosial.

“Malangnya tanpa sebarang respon daripada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selaku Ahli Parlimen Gombak mencerminkan betapa kerajaan negeri hari ini adalah zalim dan tidak manusiawi,” ujarnya.

Sebelum ini, penempatan Kampung Sri Makmur itu dilapor akan dibangunkan dengan pembinaan sebuah hospital, bagaimanapun tanah tersebut kemudian dipercayai dijual kepada syarikat swasta bagi pembangunan kondominium mewah.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menyatakan tindakan penjualan tanah itu menimbulkan persoalan sehingga membiarkan penduduk kampung diusir daripada tanah mereka yang dikatakan bernilai tinggi.

“Semua persoalan itu masih menimbulkan tanda tanya. Jika benar, mengapa kerajaan seolah-olah membiarkan kampung yang sudah dihuni berpuluhan tahun di kawasan bernilai tinggi ini berjaya dimanipulasi para kapitalis yang hanya mahu mencari keuntungan?

“Nampaknya, semakin megah berdiri bangunan-bangunan baharu pencakar langit di tanah Gombak, semakin menipis nilai kemanusiaan dan toleransi dalam memahami realiti penduduk penduduk Kampung Sri Makmur. Tiada guna berstatus negeri maju jika masih ada rakyat yang merempat di negeri sendiri!,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN