KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun putus kaki kiri selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, semalam.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 6.50 petang di Jalan Budiman iaitu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa, Muhammad Adam Muqlis Abdul Aziz yang menunggang Honda EX5 putus kaki kiri akibat perlanggaran itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dari bahu kiri jalan telah membuat pusingan U untuk menghala ke arah lampu isyarat Jalan Budiman.
“Semasa pemandu sedang membuat pusingan U, mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Jalan Budiman tiba-tiba berlanggar dengan Toyota Hilux itu di bahagian sisi depan sebelah kanan.
“Akibat perlanggaran itu mangsa mengalami cedera parah iaitu putus kaki sebelah kiri manakala pemandu pacuan empat roda iaitu pemuda berusia 23 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan manakala pemandu Toyota Hilux telah hadir memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu tular sebuah video di media sosial Facebook dan X menunjukkan mangsa terbaring kesakitan di bahu jalan dalam keadaan kaki kirinya putus akibat kemalangan tersebut.
Video berdurasi 25 saat itu turut memaparkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung melihat keadaan ngeri mangsa sehingga rebah akibat terlalu terkejut. – UTUSAN










