KANGAR: Reformasi pendidikan negara terus diperkukuhkan dengan kewujudan enam jawatankuasa khas yang memberi tumpuan tertentu kepada aspek pengajaran dan pembelajaran guru serta pelajar
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, enam jawatankuasa khas itu bertindak dalam konteks reformasi pendidikan negara.
Katanya, di peringkat kementerian, reformasi pendidikan terus berjalan dengan kewujudan enam jawatankuasa khas berkaitan subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Digital, Pra-Sekolah, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Intervensi Kurikukum dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris.
“Di peringkat kita, reformasi pendidikan berjalan dengan kita mewujudkan enam ‘special task force’ itu yang akan memberi tumpuan kepada reformasi pendidkan ini.
“Enam jawatankuasa khas ini akan bertindak dalam konteks reformasi pendidikan negara,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Agama (Perempuan) Al-Alawiyah di sini hari ini.
Beliau mengulas titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail semasa pemasyuran nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau kepada SMK Syed Hussain semalam yang menyeru semua pihak supaya memainkan peranan bagi mencapai transformasi pendidikan berkualiti dan berupaya memberikan pendidikan bermakna serta berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara.
Tambah Fadhlina, titah baginda itu ternyata memberi impak yang besar kepada pendidikan negara dalam memandu Kementerian Pendidikan untuk terus komitmen dalam memberikan tumpuan kepada pendidikan khususnya di Perlis.
“Malah dalam lawatan dua hari saya di Perlis ini juga kita memberikan tumpuan kepada beberapa agenda penting termasuk pendidikan khas.
“Malah kita juga pergi ke Kolej Vokasional (KV) Kangar dan membuat penyerahan kepada KV Kangar yang saya fikir akan memberikan impak yang cukup besar khususnya pendidikan yang berkait rapat dengan TVET.
“Selain itu, kita melihat dan menyokong satu lagi agenda penting dalam pendidikan digital hari ini dan teknologi kecerdasan buatan atau AI,” katanya.-UTUSAN











