KANGAR: Suasana suram dan sunyi sepi waktu malam di pekan lama Kangar bertukar meriah dengan lebih 400 basikal mengelilingi bandar sejauh kira-kira 1.2 kilomter bersempena Kayuhan Nostalgia Kangar di sini, semalam.
Aktiviti julung kali diadakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis dan Persatuan Berbasikal Perlis itu juga bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-81.
Lebih istimewa, upacara pelepasan kayuhan berkenaan yang bermula di Kangar Street Art bermula pukul 9 malam itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pengerusi Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, aktiviti kayuhan berkenaan bagi menghidupkan kembali suasana malam di Kangar seperti ketika era 1990-an dan awal 2000-an dahulu.
Selain itu, katanya, Kayuhan Nostalgia Kangar itu juga dijadikan sebagai simulasi sebelum penganjuran lebih besar iaitu Kangar Night Criterium pada 20 Oktober depan di lokasi itu.
Katanya, selain kayuhan, kawasan itu juga dihidupkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti pameran seni, busking, pertunjukan aksi basikal BMX, jualan makanan dan pelbagai lagi.
“Alhamdulilah, sambutan sempena kayuhan berkenaan cukup positif dengan penyertaan lebih 400 peserta selain kehadiran orang ramai memeriahkan program berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai Kangar Night Criterium, Wan Zikri berkata, penganjuran tersebut cukup unik kerana melibatkan kayuhan pada waktu malam di dalam kawasan bandar.
Katanya, sebelum ini, program seperti itu diadakan di dalam trek di kawasan tertutup namun kali ini mereka mencipta kelainan dan dijangka mendapat sambutan cukup baik.
“Ia bakal melibatkan ribuan penyertaan dari seluruh negara membabitkan peserta seawal usia 10 sehingga 70 tahun. Konsep seperti itu juga merupakan kali pertama di Malaysia.
“Peserta bakal menikmati aktiviti kayuhan dalam suasana malam di kawasan yang dikelilingi bangunan-bangunan warisan di pekan lama Kangar ini,” katanya.-UTUSAN










