Rashid hilang ibu, abang dan adik ‘sekelip mata’ dalam kebakaran

Rashid hilang ibu, abang dan adik ‘sekelip mata’ dalam kebakaran

RASHID menunjukkan kad pengenalan milik ahli keluarganya yang terkorban dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, Pulau Pinang, pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: “Saya cuba ma­suk tiga kali untuk selamatkan ibu, abang dan adik namun gagal kerana asap terlalu tebal.”

Demikian cerita pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, 29, yang hilang tiga ahli keluarganya dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan, kebaka­ran itu meragut nyawa ibunya, Nurul Bowjiya, 58; abang Rashid iaitu Muhamad Ibrahim, 33. dan adik perempuannya Rahbiah Jasmin, 20.

Menceritakan detik cemas ter­sebut, Rashid berkata, kebakaran itu berlaku terlalu pantas dan ketika kejadian, dia, abang serta adik perempuannya berada di tingkat atas rumah kedai ber­kenaan.

“Ibu saya berada di tingkat bawah ketika itu dan dia menjerit: ‘Asap!’. Saya dan abang kemudian terus turun ke tingkat bawah.

“Asap bermula dari depan kedai kami. Ibu cuba ambil air untuk padamkan api dan ketika itu, ibu sedar bahawa adik perempuan saya masih berada di tingkat atas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Balik Pulau di sini, semalam.

Menurut Rashid, sebaik sa­haja menyedari adik pe­rem­puan­nya masih berada di tingkat atas, ibunya terus naik ke bahagian atas rumah itu untuk menyelamatkan adiknya.

“Selepas itu, abang saya turut naik bersama ibu. Saya turut cuba naik ke tingkat atas namun cubaan pertama, gagal. Saya cuba kali kedua, namun, asap tebal membuatkan saya batuk-batuk.

“Saya cuba lagi kali ketiga untuk naik selamatkan ibu, abang dan adik namun asap terlalu tebal sehingga saya hampir pitam,” katanya.

Rashid berkata, rumah kedai itu adalah warisan daripada datuknya dan keluarga mereka berniaga peralatan rumah se­perti tikar, karpet dan sebagainya di kedai itu sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya masih buntu fikirkan masa depan, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Semua­nya berlaku dalam sekelip mata. Saya kini tinggal sebatang kara sekarang saya tiada saudara mara lain di sini.

“Saya hanya tinggal sehelai sepinggang, beg yang mengan­dungi kad pengenalan ahli keluar­ga saya pun pihak bomba yang jumpa dan serahkan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd. Faris Mansor berkata, mayat tiga beranak yang terkorban dalam kebakaran ter­sebut dikatakan dijumpai dalam keadaan bertindan atau bertindih antara satu sama lain.

Beliau berkata, pihaknya percaya keadaan itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa cuba untuk menyelamatkan diri daripada disambar api yang sedang marak dalam kebakaran tersebut.

“Kami difahamkan bahawa, sebelum itu, si ibu bersama dua anak lelakinya cuba memasuki semula ke kediaman terbabit sebaik menyedari anak perempuannya berada di tingkat atas walaupun telah berjaya keluar.

“Dalam keadaan api yang masih marak, salah seorang anak lelakinya itu bagaimanapun berjaya keluar semula daripada kediaman tersebut dan terselamat dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×