Pulih ekonomi, jaga kebajikan rakyat

Pulih ekonomi, jaga kebajikan rakyat

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan me­ngenal pasti tiga masalah fiskal yang perlu ditangani bagi menambah baik pengurusan wang awam dan mengelak negara daripada terus dibelenggu bebanan paras hutang mencecah RM1.2 trilion.

Ia melibatkan asas hasil yang kecil atau kutipan cukai rendah, perbelanjaan tidak berhemat seperti pelaksanaan subsidi pukal dan bebanan hutang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perutusan Negara lebih 40 minit kelmarin berkata, kerajaan mula memperluas asas hasil melalui reformasi percukaian yang tidak membebankan rakyat dan bersifat progresif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ia seperti Cukai Barang Bernilai Rendah, Cukai Keuntungan Modal Bagi Saham Tidak Tersenarai dan penambahbaikan kepada Cukai Perkhidmatan dengan unjuran peningkatan hasil cukai negara sebanyak RM4.5 bilion.

“Setakat 2023, nisbah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pada paras 12.6 peratus jauh lebih rendah berbanding purata negara Asia Pasifik sebanyak 19 peratus dan negara berpendapatan tinggi yang menjangkau 30 peratus,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perbelanjaan tidak berhemat seperti subsidi pukal juga perlu ditangani kerajaan bagi menambah baik pengurusan wang awam.

Beliau berkata, pemberian subsidi di Malaysia antara tertinggi di dunia sedangkan subsidi pukal lebih menguntungkan golongan kaya kerana penggunaan atau perbelanjaan mereka bagi suatu barang dan perkhidmatan lebih besar.

“Seramai 3.5 juta warga asing juga mendapat faedah daripada subsidi pukal,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel di samping tidak membebankan keseluruhan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi seperti bahan api dan elektrik bagi memberi penjimatan kepada wang rakyat yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain.

Perdana Menteri berkata, kekangan hasil dan perbelanjaan tidak berhemat menyebabkan kerajaan menanggung bebanan hutang yang kini mencecah RM1.2 trilion atau 64.3 peratus KDNK dan mencecah RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus KDNK jika termasuk liabiliti lain.

“Timbunan hutang hanya membazir wang rakyat kerana banyak dihabiskan untuk bayar faedah hutang. Tahun ini, setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen hanya untuk membayar faedah hutang, belum lagi bicara soal pokok atau prinsipal hutang, “ katanya.

Terdahulu, beliau berkata, dua masalah struktural yang berlaku di Malaysia sejak sekian lama adalah ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan yang hambar serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang lemah.

Bagi mengatasi masalah itu, kata beliau, antara pendekatan diambil adalah memerangi rasuah, pelaksanaan penyasaran subsidi, reformasi percukaian dan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta menambah baik ekosistem perniagaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi menyelesaikan permasalahan kedudukan kewangan negara, isu pokok yang terlebih dahulu perlu ditangani segera adalah kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sistemik serta bermaharajalela.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menoktahkan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan yang membazirkan wang rakyat dan terdedah kepada rasuah dan beralih ke sistem tender terbuka.

“Hasil ketirisan daripada amalan penyelewengan dan rasuah amat bermakna kerana sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia bukan sahaja telah terperangkap dalam kitaran ekonomi berbahaya, kos tinggi, gaji rendah dan keuntungan rendah malah kurang nilai daya saing.

“Maka, tugas sekarang adalah untuk menambah baik ekosistem perniagaan. Bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi diberi keutamaan dalam meraih lebih banyak pelaburan masuk ke dalam ekonomi negara,” katanya.

Kata Anwar, segala perancangan perubahan kerajaan tidak berlaku dan bermakna jika masih dibelenggu pemikiran sempat serta tidak berikhtiar untuk berubah.

“Hanya tekad dan jelas mampu mengeluarkan kita daripada perangkap perangkap pendapatan menengah dan seterusnya mencapai tujuh penanda Ekonomi Madani yang kita hebahkan. Saya faham proses perubahan ampuh bukan perkara mudah, malah kita dituntut keluar daripada zon selesa agar perubahan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil namun tidak melibatkan golongan T20.

Katanya, kerajaan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan.

Beliau berkata, penyasaran subsidi bahan api bukan penarikan mutlak seperti yang cuba digembar-gemburkan segelintir pihak dan ia perlu dijayakan untuk menyusun semula struktur kewangan awam.

“Bukan kerja mudah meleraikan masalah struktural ekonomi walaupun tidak popular di mata rakyat tetapi menjadi keperluan untuk menggerakkannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini