'Projek PSI untuk penuhi keperluan 40 tahun akan datang'

‘Projek PSI untuk penuhi keperluan 40 tahun akan datang’

ZAIRIL Khir Johari ketika menjawab soalan A.Kumaresen (PKR-Batu Uban) mengenai rasional projek PSI diteruskan ketika sesi sidang DUN Pulau Pinang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menjelaskan, tanah tambakan projek Penang South Islands (PSI) sebenarnya diwujudkan untuk pembangunan industri, komersial, perumahan dan tarikan pelancong pulau bagi memenuhi keperluan 40 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pembangunan sebuah pulau tambakan atau lebih dikenali sebagai Pulau Silikon ketika ini pula bertujuan menangani masalah kekurangan tanah bagi kegunaan industri.

Katanya, Pulau Silikon sebenarnya mempunyai hubungan langsung terhadap ekosistem sedia ada di Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta rangkaian Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Umum mengetahui bahawa Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas adalah destinasi pelaburan antarabangsa yang popular, khususnya dalam sektor pembuatan elektrikal dan elektronik (E&E).

“Justeru, pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi seperti Green Tech Park di Pulau Silikon akan memperluaskan FIZ Bayan Lepas bagi memenuhi keperluan pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi mereka selain menarik pelabur baharu, khususnya yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti industri bernilai tinggi,” katanya.

Zairil (DAP-Tanjong Bungah) berkata demikian semasa menjawab soalan A.Kumaresen (PKR-Batu Uban) mengenai rasional projek PSI diteruskan ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, boleh dikatakan bahawa Green Tech Park akan menjadi pembangunan utama di Pulau Silikon dan berperanan penting sebagai pemangkin ekonomi negeri.

Katanya, Green Tech Park juga menjadi penjana hasil serta pencipta peluang pekerjaan bagi Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

“Projek tersebut diyakini akan meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai pengeluar produk E&E penting di dunia dan memperkukuh reputasi Pulau Pinang sebagai Silicon Valley of the East,” katanya.

Tambahnya, melalui Pulau Silikon, Pulau Pinang dijangka akan menjana impak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion sekaligus menarik jumlah pelaburan sebanyak RM74.7 bilion dan menghasilkan 220,000 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Zairil berkata, projek Pulau Silikon itu ialah projek penambakan milik kerajaan negeri di mana ia adalah kali pertama kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk tujuan menjamin pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang Pulau Pinang.

“Keluasan tanah Pulau Silikon iaitu kira-kira 2,300 ekar (930.78 hektar) adalah milik penuh (100 peratus) kerajaan negeri. Jadi, selaku pemilik projek, kerajaan negeri juga berhak menentukan kegunaan tanah di pulau yang sedang ditambak,” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN