HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) yakin akan meraih kemenangan sekiranya 80 peratus daripada 40,226 pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu 7 dan 11 Mei nanti.
Jumlah itu diperlukan untuk memastikan PN memperoleh kemenangan selesa atau perlu berdepan dengan saingan 50-50 dengan Pakatan Harapan (PH) jika peratusan keluar mengundi kurang daripada sasaran tersebut.
Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, calon, Khairul Azhari Saut dan jentera perlu memanfaatkan baki enam hari dalam pecutan akhir kempen bermula esok.
“Kita ada enam hari, saya mahu sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi wajib keluar. Saya beri jaminan berdasarkan laporan risikan dan culaan di lapangan yang kita buat, keluar 80 peratus pengundi mengundi, Kuala Kubu Bharu milik PN pada 11 Mei,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PN, malam tadi.
Malah, beliau ketika ditemui pemberita memaklumkan, siri culaan terbaharu PN yang dilaksanakan sayap wanita parti itu menemui 7,000 pengundi dan menyasarkan 15,000 orang pada petang ini.
“Saya baru sahaja menerima laporan, hari ini sahaja mereka menyentuh 7,000 pengundi di beberapa PDM dan esok (hari ini) akan diteruskan dan pukul 6 petang kita menjangkakan 15,000 pengundi akan kita sentuh dan ziarah.
“Setakat petang tadi (semalam), sokongan kepada calon PN amat-amat meyakinkan, alhamdulillah. Saya berharap momentum itu berterusan sehingga 11 Mei nanti,” ujarnya.
Terdahulu ketika berucap pada ceramah tersebut Pengerusi PN Selangor itu memberitahu, PN akan terus membangkitkan isu ekonomi rakyat dan kos sara hidup yang dihadapi oleh semua kaum dan mengakui kemenangan tidak mengubah kedudukan kerajaan, namun mengukuhkan suara semak imbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sebab itu saya kesian dengan UNNO, mereka bertemu dengan saya, enough is enough mereka bersedia sokong PN. Begitu juga dengan orang Cina, orang Cina hendak apa? Dia mahu kestabilan, peluang perniagaan, tetapi hendak berniaga apa ringgit lemah, harga barang naik.
“Ketika ringgit kuat nilai import (barangan keperluan asas) RM70 bilion, sekarang ringgit merudum, dalam waktu terdepat akan melepasi RM5 untuk 1 Dolar AS. Tidak mungkin pengimport akan serap sepenuhnya kos tambahan, mereka akan pindahkan kepada pengguna, maka bila kita pergi ke pasar tani, harga (barang) mahal.
“Tetapi, jangan bimbang, ia (ringgit merudum) baik untuk ekonomi, beras tak ada kita makan ubi kayu,” sindirnya. – UTUSAN










