PRK Kuala Kubu Bharu: Calon bebas nafi dibayar untuk bertanding - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: Calon bebas nafi dibayar untuk bertanding

Calon bebas
NYAU Ke Xin menunjukkan manifestonya sempena PRK Kuala Kubu Bharu, dekat Pekan Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Calon Bebas, Nyau Ke Xin menolak dakwaan beliau ditaja oleh pihak-pihak tertentu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bagi sebarang tujuan sekali pun.

Menurutnya, tindakannya bertanding dalam pilihan raya itu dilakukan secara sukarela tanpa paksaan atau permintaan daripada mana-mana pihak termasuklah dakwaan yang mengatakan ditaja.

Ke Xin, 27 sebaliknya menjelaskan, beliau menggunakan wang simpanan sendiri untuk bertanding dengan sokongan daripada rakan-rakan yang mahu membantu rakyat yang terjejas dengan kenaikan kos sara hidup.

“Tuduhan proksi mana-mana parti itu tidak betul, saya tidak diupah malah saya ada buat surat akuan siap dengan cop daripada pejabat Pesuruhjaya Sumpah. Saya masuk bertanding dan kempen guna duit simpanan saya, bukan ditaja mana-mana pihak.

“Saya ada buat video di aplikasi TikTok menafikan tuduhan proksi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pembentangan manifestonya, hari ini.

Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, Ke Xin berdepan pertembungan empat penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin.

Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei.

Menyentuh tawaran dalam manifesto, Ke Xin menyatakan komitmen terhadap pelbagai isu termasuk meneliti masalah perolehan tanah individu dan rumah ibadat selain menyediakan pengangkutan khas kepada warga emas untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di hospital.

Beliau juga berhasrat menyediakan van jenazah percuma kepada warga Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, kesemua itu terdapat dalam 11 inisiatif menerusi manifesto yang dibentangkan antaranya mengkaji secara terperinci masalah perolehan tanah dan rumah ibadat bukan Islam.

Selain itu, beliau akan memastikan harga barang keperluan sentiasa dipantau, memastikan kemudahan kesihatan, lampu dan jalan raya dalam keadaan yang baik.

“Saya akan mewujudkan pusat khidmat rakyat yang beroperasi selama tujuh hari seminggu termasuk pusat sehenti untuk kaunter pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB), air dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

“Saya juga akan membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah dengan kerjasama agensi kerajaan termasuk menjalankan program pendidikan dan kepimpinan untuk pelajar sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN