HULU SELANGOR: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu digesa untuk keluar mengundi dan memahami ia sebagai sebahagian daripada politik yang turut diwajibkan dalam Islam termasuk kewajiban memilih pemimpin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, masih terdapat dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya beragama Islam memandang remeh dan sambil lewa terhadap pilihan raya dan kewajiban memilih pemimpin.
“Bagi menegakkan perkara itu, politik wajib dalam Islam, memilih pemimpin wajib dalam Islam, masih ramai memandang remeh temeh memilih pemimpin, ringan dan sambil lewa terhadap kewajiban mengundi, ada dalam kalangan orang kita tak ambil tahu siapa memerintah negara kita, sama sahaja. Itu silap, al-Quran menunjukkan apa yang saya sebutkan tadi.
“Pada hari Sabtu, penduduk Kuala Kubu Baharu yang layak akan keluar mengundi untuk memilih wakil bagi mereka berada dalam Dewan Negeri untuk memerintah negeri dan memberi nasihat kepada kerajaan menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran,” katanya berucap pada Ceramah Perdana PN, malam tadi.
Beliau menjelaskan, memilih calon dalam kalangan kaum majoriti beragama Islam adalah wajib seperti mana yang diceritakan dalam peristiwa kewafatan Nabi Muhammad SAW yang sebelum itu mengarahkan pemimpin selepas baginda dipilih dalam kalangan kumpulan majoriti.
“Betapa wajibnya politik memilih pemimpin, sehingga apabila wafatnya Nabi Muhammad, pada masa hendak kebumikan jenazah baginda, hanya beberapa orang sahabat sahaja yang hadir pada masa itu sebahagian besarnya berhimpun di suatu tempat untuk memilih pemimpin selepas wafatnya Rasulullah.
“Maka ada tiga calon, orang Madinah mencalonkan Saad Ubadah pemimpin Ansar, keluarga nabi mencalonkan Saidina Ali Bin Abi Talib, dalam kalangan Muhajirin mencadangkan Saidina Abu Bakar.
“Apabila mereka mendengar hadis nabi, pemimpin daripada Quraisy, Quraisy adalah kaum yang mendominasi umat Islam pada masa itu, maka dipilih Abu Bakar, orang Islam daripada Quraisy, kaum yang mendominasi rakyat ketika itu,” jelasnya.
Justeru, Ahli Parlimen Marang itu menambah, pengundi di Kuala Kubu Baharu perlu memilih pemimpin politik dalam kalangan orang Melayu, Islam dan menegaskan kewajiban untuk memilih pemimpin yang membawa mesej agama itu.
“Yang mengatakan wajib mengundi sesiapa sahaja calon itu ajaran sesat dan bercanggah dengan al-Quran dan hadis.
“Mungkin bila saya cakap, orang anggap itu pelik, pelik kerana tak belajar, tak mengaji. Mengaji fardhu ain sembahyang, puasa, zakat, haji. Tak mengaji politik, dalam Islam ada hukum-hukum politik, apa lagi bila kita tahu bila berdepan dengan parti yang ekstrim, parti bukan Islam yang melampau, hendak merampas kuasa politik, parti DAP,” dakwanya. – UTUSAN










