KUALA SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan manifestonya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada petang ini dengan menggariskan lima teras utama.
Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, manifesto berkenaan akan diumumkan calonnya, Khairul Azhari Saut di Bilik Gerakan pukul 5 petang.
“Kita akan melancarkan manifesto itu esok dan ada lima teras utama yang telah dikenal pasti PN.
“Saya yakin calon kita mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Mengenai teras-teras itu, kita tunggu pengumumannya nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, malam tadi.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan PN tidak akan mengikut jejak langkah parti lawan yang mengumumkan manifesto untuk mendepani PRK tersebut.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilapor berkata, PN akan menggunakan strategi berbeza dan mengumumkannhya pada masa sesuai.
Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao sebelum ini turut menggariskan lima teras dalam manifestonya.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin memaklumkan, beliau enggan mengulas lanjut mengenai manifesto calon pihak lawan.
“Namun, yang pastinya ia adalah palsu dan dusta semata-mata. Apa guna manifesto Kuala Kubu Bharu itu kalau manifeto di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri gagal dilaksanakan selepas lebih setahun berkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan pengundi pada pecutan akhir PN menjelang PRK dilihat amat positif setakat ini.
“Saya yakin (kemenangan) namun kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu memfokuskan lokaliti selain Pusat Daerah Mengundi (PDM). Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan turun menemui jentera dan memberi amanat beliau esok,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang menjaga PDM Kuala Kali yakin kemenangan akan berpihak kepada calon PN.
“Ini kerana rakyat kini ingin terus didampingi wakil rakyat selain bantuan semata-mata. PN kini mengutamakan keikhlasan untuk membantu menyelesaikan isu rakyat dan suara pembangkang akan lebih kuat jika memenangi kerusi itu kelak,” tegasnya. – UTUSAN










