PRK Kuala Kubu Baharu: PN hanya mahu kelirukan rakyat - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: PN hanya mahu kelirukan rakyat

PN kelirukan
AMIRUDIN Shari ketika berucap di Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale bagi PRK Kuala Kubu Baharu, di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. – UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kempen yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu didakwa hanya untuk mengelirukan pengundi berbanding membentangkan idea untuk pembangunan di kawasan tersebut.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengundi boleh membuat perbandingan mana satu kumpulan politik yang ingin mewakili rakyat dan kumpulan mana yang ingin mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, naratif dan hujah yang dimainkan oleh PN sepanjang kempen tidak konsisten serta lompong.

“Kalau kita tanya calon mereka (Khairul Azhari Saut) yang dia tahu adalah jawapan ‘tiada komen’. Bermula daripada status pendidikan, bila tanya hutang dan kenapa manifestonya hampir dengan Kerajaan Perpaduan, jawapannya lebih kurang jugak ‘tiada komen’.

“Daripada mula (PN) kata mereka mahu buat ini sebagai satu titik perubahan kerajaan.  Macam mana hendak ubah pun kita tidak nampak sebab di Selangor (hendak ubah) kena cari 11 (wakil rakyat).

“Kita ada 35 (wakil rakyat), kita kurang tiga (wakil rakyat) lagi untuk dapat majoriti dua pertiga,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale bagi PRK Kuala Kubu Baharu, malam tadi.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor itu berkata, PN kemudian bermain dengan isu perkauman selepas naratif-naratif yang dibawanya sebelum ini gagal diterima oleh rakyat.

“Apabila referendum sudah tidak laku, dia terpaksa guna perkauman, gunakan ‘line’ agama yang sempit. Kerja kita sebagai pemimpin satukan orang, kumpulkan kekuatan rakyat kerana ia untuk membangunkan, menjaga keharmonian serta memastikan keamanan negara.

“PN kerjanya nak pecahkan kita, nak pisahkan kita. Orang Kuala Kubu Baharu bagi isyarat kepada mereka, pilih calon Kerajaan Perpaduan (Pang Sock Tao),” ujarnya.

Tambahnya, sebahagian perkara yang dibangkitkan oleh PN adalah penipuan terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Tengok ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin (iaitu) bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelapan. Sepatutnya sebagai Perdana Menteri kalau berucap ada standard sedikit, kita tahukan tata kerja kerajaan. Tengok hujah dia (Muhyiddin) apabila berceramah (kerap kali mengatakan) tiada apa kita (Kerajaan Perpaduan) buat.

“Kerajaan Perpaduan inilah di bawah kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said muktamadkan kes apa? Muktamadkan kes permohonan dan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu.

“(Kita) sudah pertahankan demi menjamin kedaulatan dan masa depan negara, ia telah diputuskan serta dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan. Kerajaan jaga kedaulatan negara yang tidak mampu dibuat semasa Muhyiddin jadi Perdana Menteri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN