PRK Kuala Kubu Baharu: PH menang isyarat sokongan kuat kepada Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: PH menang isyarat sokongan kuat kepada Kerajaan Perpaduan

Kerajaan Perpaduan
AMIRUDIN Shari dalam sidang akhbar selepas mendapat keputusan PRK Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) menyatakan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu merupakan isyarat sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan keputusan diperolehi pada pilihan raya tersebut, sokongan PH menunjukkan peningkatan sokongan pada beberapa pusat daerah mengundi (PDM) kepada Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan.

“Kepercayaan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan berkembang dan memekar, manakala sokongan daripada masyarakat Cina dan komuniti India serta orang asli terus mengukuh.

“Ini adalah tanda bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita menerima bahawa kita saling memerlukan, dan pasukan Perpaduan adalah gabungan tepat yang mampu majukan negara dan membela rakyat secara adil,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tambahnya, keputusan yang dibuat pengundi turut menjadi isyarat bahawa mereka tidak mahu agen pemecahbelah untuk mewakili penduduk di Kuala Kubu Baharu.

“Sebaliknya, rakyat inginkan penyatuan dan kebersamaan sebagai asas untuk membawa kemajuan ekonomi negeri dan negara yang dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup semua,” jelasnya.

Semalam, usaha PN untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bagi melengkapkan penguasaannya terhadap Parlimen Hulu Selangor gagal apabila tewas kepada PH yang meraih majoriti, 3,869.

Dalam PRK di kawasan tersebut, calon PH, Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi meninggalkan calon PN, Khairul Azhari Saut yang sekadar meraih 10,151 undi.

Terdahulu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor dalam sidang akhbarnya memberitahu beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika terdapat petisyen pilihan raya dikemukakan terhadap partinya.

Menurutnya, PH yakin menjalankan kempen secara sihat, bagaimanapun tindakan memfailkan petisyen itu adalah hak parti-parti yang bertanding untuk dikemukakan.

“Kami yakin menjalankan kempen yang berkesan, berhikmah dan tiada mencaci-maki ataupun menabur janji manis sepanjang pilihan raya ini.

“Sebaliknya, perkara sedemikian banyak ditunjukkan dalam kempen-kempen PN termasuk menimbulkan kekeliruan dalam banyak perkara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×